Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Muslimat muda PAS (Ameerah) menyarankan agar usaha berterusan mesti dilakukan untuk memberi pendidikan politik kepada anak muda.
Ketua Ameerah Negeri, YB Zuraida Md Noor berkata, supaya mereka berpartisipasi dalam menentukan hala tuju negara.
“Kita sudah tidak ada masa membahaskan wajar atau tidak pengundi 18 tahun dibenarkan mengundi. Apatah lagi bila had umur mengundi diturunkan ke 18 tahun.
“Tindakan yang lebih perlu ialah mendekati dan menarik minat mereka, seperti kata Tuan Guru Presiden PAS, anak muda sekarang tidak sama macam dulu. Kerana anak muda sekarang terdedah kepada informasi. Jika mereka tidak matang, maka Salah Kita,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita berkata demikian ketika dihubungi mengulas Pemuafakatan PAS-Umno, semalam.
Justeru itu beliau berkata, wanita dan anak muda adalah kelompok dominan sebagai pengundi yang harus diberi diberi penekanan amnya.
“Ameerah dan Puteri harus terus fokus tanpa menoleh ke belakang lagi agenda menawan hati anak muda khususnya di kalangan gadis dan wanita.
“Agar mereka turut bersama kita menentukan hala tuju negara ke arah yang stabil, menghormati Perlembagaan dan lebih harmoni,” tambah beliau.


























