Misi Dakwah dan Siyasah Mesti Diteruskan

1029

Oleh; Dr. Usta Mohd Khairuddin aT-Takiri

PAS merupakan gerakan Islam yang membawa misi dakwah dan siyasah. Sebagai gerakan dakwah sasaran dakwah PAS ialah bukan muslim dan muslim untuk mereka menerima Islam sebagai cara hidup dan dasar bernegara menerusi pelbagai usaha pendidikan dan penerangan. Sebagai gerakan siyasah atau politik maka PAS berusaha mendapatkan kuasa untuk memerintah dengan menjadikan pilihanraya sebagai wasilah.

Kehadiran PAS pada tahun 1951 adalah manifestasi pada arahan Allah menerusi firmannya:
( وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ) [ آلِ عِمْرَانَ : 104 ]

Maksudnya: Hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan (Islam) dan menyuruh melakukan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Maka merekalah orang-orang yang beroleh al-Falah (kejayaan selepas kesukaran). Surah Aali Imran ayat 104.

Dakwah PAS mensasarkan muslim dan bukan muslim. Bagi yang bukan muslim sasaran dakwah PAS agar mereka menjadi muslim atau sekurang-kurang mesra dengan Islam dan tidak memusuhinya. Kehadiran Dewan Himpunan PAS adalah manifestasi kejayaan PAS memperkenalkan Islam kepada bukan Islam.

Bagi yang sudah muslim sasarannya ialah agar mereka menjadi muslim dari sudut aqidah, syariah dan akhlak. Islam menjadi cara hidup beribadah, berkeluarga, bermasyarakat, berekonomi dan bernegara. Harapannya mereka menjadi mukmin yang bertaqwa sehingga terselamat daripada neraka Allah di Akhirat dan mendapat syurga-Nya di samping kebahagian hidup di dunia.

Apabila Nabi saw memberi taklimat kepada Ali r.a untuk mengepalai satu misi ketenteraan baginda menegaskan:

فَوَاللَّهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رجلاً وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ

“Demi Allah, Hidayah yang diberikan oleh Allah kepada seorang lelaki disebabkan kamu adalah lebih baik bagi kamu daripada mendapat unta merah (harta rampasan perang). ” Hadis Bukhari dan Muslim.

Ia bermaksud bahawa perang bukanlah matlamat malah matlamat perang ialah membawa hidayah kepada manusia untuk menerima Islam. Sekiranya mereka menerima Islam lalu tidak berlaku perang yang membolehkan terhasilnya harta rampasan perang maka ia adalah lebih baik.

Untuk mencapai matlamat dakwah maka ahli-ahli PAS berkecimpung di bidang pendidikan pra sekolah, sekolah rendah dan menengah serta pengajian tinggi bagi melahirkan masyarakat yang terdidik dengan Islam. Para ulamak terutamanya dan seluruh ahli PAS mendominasi dakwah di surau, masjid, jabatan kerajaan, media elektronik radio dan tv serta media cetak menerusi penulisan buku dan artikel di majalah dan akhbar. Matlamatnya ialah membina persekitaran kehidupan yang baik dan soleh yang tercerna padanya cara hidup beragama Islam.

PAS sebagai gerakan politik bermaksud PAS berusaha mendapatkan kuasa dengan matlamat agar sebuah negara itu diperintah dan ditadbir berdasar prinsip yang digariskan oleh al-Quran dan juga Sunnah Nabi saw. Dasar-dasar Islam mendasari urusan politik, ekonomi dan sosial dalam sebuah negara sehingga lahirnya negara yang adil lagi berkebajikan.

Hasilnya rakyat baik muslim atau bukan muslim merasai nikmat bernegara iaitu rasa aman sentosa tidak diselubungi ketakutan dan limpahan rezki yang membolehkan mereka mendapat makan minum yang cukup, kediaman yang lapang dan kenderaan yang baik.

Cukuplah apabila kita melihat dasar Islam dalam percukaian yang memberi keadilan ekonomi kepada rakyat. Ia tidak boleh dikenakan melainkan setelah mana hasil mahsul negeri daripada pelbagai sumber tidak cukup untuk menampung keperluan perbelanjaan dan pembangunan negara. Apabila cukai terpaksa dikenakan oleh kerajaan maka disyaratkan cukai itu tidak dikenakan kepada semua pihak sama ada kaya atau miskin tetapi hanya dikenakan kepada yang kaya dan berkemampuan sahaja untuk dinikmati oleh golongan tidak berkemampuan dalam negara. Namun ada lagi syarat yang mesti dipenuhi iaitu tidak berlaku sebarang pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan negara.

Jihad dakwah dan siyasah ini perlu diperjuangkan secara berterusan tanpa mengenal erti penat dan letih dengan seluruh tenaga, jiwa, masa dan harta benda. Ahli dan pemimpin PAS perlu menjiwai dua matlamat perjuangan PAS ini iaitu bahawa PAS adalah gerakan dakwah dan gerakan politik.

****UstaZ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat