MARANG – Himpunan Minggu Al-Quds Sedunia yang bermula di Terengganu mencerminkan kesedaran iman dan tanggungjawab moral umat Islam terhadap kezaliman di Palestin.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Ustaz Husain Awang berkata, ia juga didorong oleh kebencian atau emosi melulu.
“sebaliknya lahir daripada keyakinan yang hidup, akal bertanggungjawab serta hati nurani tidak sanggup berdiam diri apabila kezaliman berlaku di depan mata.” ujarnya.
Tambah beliau, sambutan itu bukan sekadar acara tahunan dalam kalendar, namun merupakan panggilan kesedaran dan keimanan.


“Ia menjadi peringatan kepada umat bahawa masih wujud tanah suci yang dinodai dan dijajah,
“masih ada saudara seagama yang dizalimi, serta masih berlaku kezaliman yang berterusan dalam kalangan umat manusia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Al-Quds Sedunia 2026, Dewan Tok Guru, Rusila, semalam.
Menurutnya, Baitul Maqdis bukan isu bangsa atau wilayah, tetapi isu akidah umat Islam kerana Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat pertama, masjid ketiga paling suci selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, serta lokasi peristiwa Israk dan Mikraj.
“Mempertahankan Masjid Al-Aqsa adalah tuntutan agama, amanah akidah dan tanggungjawab sejarah yang diwariskan oleh para nabi dan rasul,” tegas beliau.


Ustaz Husain turut mengecam tindakan Israel ke atas Palestin sebagai penjajahan haram, pembersihan etnik secara sistematik dan jenayah kemanusiaan.
“pembunuhan puluhan ribu rakyat Palestin sejak Oktober 2023, majoritinya terdiri daripada kanak-kanak, wanita dan orang awam yang tidak bersenjata.
“itu bukanlah pertahanan diri, pengeboman hospital bukan langkah keselamatan, dan kemusnahan seluruh bandar bukan keadilan. Itulah hakikat kezaliman,” tegasnya.
Mantan Ahli Dewan Negara itu menyeru umat Islam agar menolak sebarang usaha normalisasi penjajahan dan membisukan kebenaran.


Beliau menekankan, bahawa sikap berdiam diri terhadap kezaliman bermakna menyebelahi penindas.
Justeru itu, beliau menggesa golongan muda memainkan peranan di medan pemikiran dan maklumat dengan menggunakan media untuk menyebarkan kebenaran, membela golongan tertindas dan menolak kebencian serta propaganda palsu.
“Saya mengajak semua semua berdoa selagi Masjid Al Aqsa di jajah, selagi rakyat Palestin dizalimi , selagi itu umat Islam tak boleh diam dan mengalah,” tambah beliau lagi.





























