Menjelang PRU-13; Umno-BN Terus Menekan Rakyat Demi Mengekalkan Kuasa

663

Sokongan rakyat yang semakin ‘terhakis’ kepada Umno-BN mendesak parti tersebut secara berterusan menggunakan senjata fitnah dan ‘adu domba’.

Selain itu, Umno-BN menyalahgunakan kuasa memperalatkan pelbagai jabatan dan agensi bagi mengugut dan menekan rakyat demi untuk mengekalkan kuasa.

Terbaru di Kampung Jelapang, Setiu, kerajaan Umno-BN menggunakan Jabatan Pertanian untuk menekan para petani yang mengusahakan sawah padi di kampung tersebut.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Padi Kampung Jelapang, Abdul Raof Mohamad, pihak Jabatan  telah meminta penduduk menandatangani satu borang yang mengandungi 18 perkara bagi tujuan mengugut rakyat.

“antaranya, para pesawah diminta bersetuju dan membayar harga input bagi mengusahakan sawah di sini sedangkan Menteri Besar dan kerajaan Terengganu telah pun mengisytharkan bantuan bagi pembukaan semula kawasan ini untuk dijadikan Jelapang Padi,”ujarnya.

[Gambar kanan – Raof (paling kanan) ketika bersama pesawah mengadakan himpunan aman di kawasan psawah Kampung Jelapang tidak lama dulu]

Beliau yakin, tindakan tersebut ia adalah ekoran penyerahan Memorandum Rakyat, yang menuntut hak milik tanah tersebut, sewaktu Demonstrasi Tanah Rakyat yang diadakan di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Beliau juga menyifatkan tindakan Jabatan Pertanian itu adalah arahan pemimpin Umno yang cuba  menafikan hak para petani yang telah mengusahakan tanah terbabit sejak 40 tahun lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Pengerusi Gerakan Pembelaan Tanah Rakyat Terengganu (GEMPAR) Haji Salleh Embong mendakwa, pemimpin Umno telah mengarahkan pihak pejabat tanah pergi rumah ke rumah bagi menyerahkan cek pampasan tanah.

Katanya, bila rakyat menolak dan bertindak menentang pengambilan tanah yang tidak mengikut prosedur, pihak pejabat tanah sanggup turun rumah ke rumah ‘menjaja’ cek yang kononnya ‘pampasan tanah’ yang diambil.

“ini tindakan apa? Siapa suruh? Rakyat tidak bersetuju dengan tindakan Umno dan BN yang menzalimi rakyat, siapa yang suruh buat cek? Siapa yang setuju terima?,

“tidak ada satu pun pembangunan yang boleh dilaksanakan tanpa persetujuan daripada tuan tanah, rakyat dah tak setuju, bawalah ke mahkamah untuk pengadilan!,”ujarnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Jawatakuasa Umno Bahagia Kuala Nerus berkata tindakan seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini,  setelah Umno memerintah Negara selama 54 tahun.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan kerajaan menghadapi penduduk Kampung Banggol Donas yang tidak setuju tanah mereka diambil balik oleh kerajaan bagi melaksanakan Projek Jalan dan Jambatan Kampung Jeram, Dari Bukit Guntung ke Kubang Jela dekat sini.

[Gambar kanan bawah – Haji Salleh tegas mempertahankan hak penduduk Kampung Banggol Donas]

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tanah Kampung Banggol Donas menjelaskan, penduduk kampung dan rakyat tidak menolak pembangunan tetapi kerajaan tidak dapat memberikan jawapan mengapa jalan tersebut mesti melanggar 22 buah rumah dan menghapuskan Kampung Banggol Donas sedangkan ada kawasan pilihan bagi jajaran tersebut.

Sebelum itu dalam uacapannya pada Majlis Meraikan Penerimaan Sijl Keahlian PAS di Kampung terbabit, beliau sekali lagi meminta penjelasan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said yang memfitnah beliau berkaitan perkara tersebut.

“Ahmad Said menuduh saya dan penduduk kampung telah bersetuju menerima pampasan, sedangkan saya dan penduduk tidak pernah bersetuju,

“Ahmad Said turut memfitnah pimpinan PAS yang kononnya percaya dengan ‘penipuan’ saya,”katanya.

Katanya, beliau telah membuat satu laporan polis berhubung fitnah yang dilakukan oleh Menteri Besar Terengganu, amun sehingga kini belum ada apa-apa tindakan yang diambil.

Beliau kesal kerana menurutnya, secara terang dan jelas pemimpin Umno negeri telah terlibat dengan projek tersebut dan meminta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bertindak ke atas laporan yang telah beliau kemukakan.