Mengapa Pembinaan Menara Warisan Perlu Dibantah!

2203

Pemuda PAS mengajak seluruh rakyat membantah pembinaan Menara Warisan 118 tingkat yang menelan perbelanjaan sebanyak RM 5 bilion sepertimana yang telah diumumkan dalam Bajet 2011 yang lalu.

Merujuk kepada kenyataan akhbar pada 20 Mac 2013, projek pembangunan kendalian penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) ini telah dimulakan di kawasan berhampiran dengan Stadium Merdeka dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Pembinaan tersebut perlu dibantah disebabkan beberapa faktor;

Ir Khairil Nizam Kahiruddin1. Tidak dapat dinafikan projek ini mampu menarik tumpuan pelancong, namun tujuan projek pembinaan yang meliputi beberapa unit kondominium mewah, kompleks membeli belah dan pejabat boleh dipertikaikan. Daripada satu laporan yang didedahkan baru-baru ini, kawasan Lembah Klang menghadapi masalah lebihan penawaran. Segmen kediaman kondominium mewah merekodkan lebihan paling tinggi iaitu sekitar 32% daripada 27,000 unit yang ditawarkan tidak termasuk jangkaan lebih kurang 5,204 unit baharu pada tahun 2014.

Selain kondominium mewah, kadar kekosongan unit pejabat mencapai 14 peratus daripada 90 juta kaki persegi yang ditawarkan. Begitu juga kekosongan ruang pusat membeli belah adalah 10 peratus daripada 44 juta kaki persegi yang disediakan pada tahun 2013. Malah, kawasan Stadium Merdeka berhampiran dengan lokasi premium iaitu sepanjang Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang. Oleh itu, tujuan pembinaan Menara Warisan tidak sesuai dilaksanakan di kawasan tersebut.

2. Tapak projek Menara Warisan yang berkeluasan 19 ekar akan didirikan di atas tapak Taman Merdeka Negara iaitu sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara. Pembinaan projek ini akan menjejas hakisan sejarah negara kerana Taman Merdeka Negara dimasukkan ke dalam zon penampan kepada Stadium Merdeka dan Stadium Negara dan ia dilindungi di bawah Seksyen 25 (1) Akta Warisan Kebangsaan 2005. Perkara ini boleh dirujuk kepada jawapan bertulis Menteri Pelancongan kepada Ahli Parlimen Serdang di Dewan Rakyat pada 30 September 2013.

3. Sekiranya projek ini diteruskan, maka ia akan menambahkan lagi kesesakan jalan raya yang sedia ada di kawasan Jalan Hang Tuah, Jalan Maharajalela, dan Jalan Stadium. Kawasan tersebut pada hari ini merupakan laluan utama ke lokasi premium di sekitar Jalan Bukit Bintang dan ke Cheras. Tambahan pula, kawasan tersebut mempunyai beberapa institusi pendidikan seperti SMK Victoria (Victoria Institution), SRJK (C) Davidson, dan Methodist Boy’s School.

Selain daripada TIGA faktor utama ini, maka Pemuda PAS menggesa pihak kerajaan dan PNB mempertimbangkan semula projek pembinaan Menara Warisan ini. Ia tidak termasuk sejauhmana projek ini memberi limpahan ekonomi khususnya kepada golongan bandar yang kini dihimpit dengan tekanan ekonomi semasa.

Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin,
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan