Langkah membiarkan harga barang dan perkhidmatan ditentukan oleh kuasa pasaran sepenuhnya adalah langkah kurang tepat. Kerajaan harus bertanggungjawab dan mencampuri secara minimum penetapan harga dalam pasaran bagi memberikan keadilan kepada agen-agen ekonomi yang lain seperti pembeli dan penjual.
Imam Ibn Taimiyyah telah berpesan mengenai topik Al-Hasabah, jika kemaslahatan orang ramai tidak dapat dipenuhi kecuali dengan berlakunya pengawalan terhadap harga, maka laksanakanlah pengawalan harga ke atas mereka dengan cara yang adil dan saksama. Jika masyarakat dapat memenuhi keperluan dan kemaslahatan mereka tanpa sebarang kawalan harga, maka ia tidak boleh dilaksanakan.


Faktor utama kenaikan kos barang-barang keperluan pada hari ini adalah disebabkan oleh kesan domino pengurangan subsidi bahan bakar, gula dan tarif elektrik. Tindakan rasionalisasi subsidi yang dilakukan sejak pertengahan tahun lalu dianggap tidak releven dengan situasi ekonomi semasa. Malah, ia dilihat hanya sekadar tindakan politik pihak Barisan Nasional selepas memenangi 49% undi popular dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.
Kerajaan tidak wajar mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan rakyat berhak untuk menikmati kadar inflasi yang lebih rendah. Jika kos sara hidup terus tinggi bagi tempoh 8 bulan lagi, maka rakyat akan terus terbeban sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bakal dilaksanakan pada Suku Kedua tahun depan.
Rakyat kesal dengan sikap kerajaan yang gagal mengurus kewangan awam sehingga terpaksa mengalihkan beban terus ke bahu rakyat. Kesilapan kerajaan inilah yang tidak mewajarkan untuk membiarkan harga ditentukan dengan kuasa pasaran. Kerajaan harus dihukum. Rakyat mesti terus dibela!
***Arikel adalah kenyataan media YB Ustaz NASRUDIN HASSAN, Ahli Parlimen Temerloh yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat






























