Meluruskan Sejarah Kemerdekaan Tanahair: Peranan Ulama Yang Disepikan

3675

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Dalam keghairahan menyambut kemerdekaan kali ke 60 negara ini, pelbagai program telah dibuat oleh pihak penguasa termasuk bertindan niat untuk memastikan penguasaan mereka semakin kukuh untuk memerintah negara. Penyiaran filem-filem patriotik yang kadang kala tersasar daripada lukisan sejarah yang sebenar, juga himpunan yang diselitkan dengan aroma propaganda yang memualkan.

Dalam kita memutar kembali sejarah perjuangan yang berat sebelah ini, peranan ulama dan gerakan Islam dikesampingkan dan disepikan daripada pengkisahan perjuangan kemerdekaan. Tidak kepalang pengorbanan para ulama dan Islamis dalam menoreh sejarah emas perjuangan, ada yang gugur syahid, dibuang jauh daripada tanah leluhur dan terpenjara jasad dalam jeriji besi.

Langit sejarah telah merakamkan seawal abad ke-20, telah menyaksikan kemuculan arus kesedaran Islam di Tanah Melayu dalam memperjuangkan nasib Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Kebangkitan Ulama Tanah Melayu juga mengakar dari simbahan kebangkitan ulama Islam yang berlaku di seluruh belahan dunia.

Islam telah telah menjadi pemangkin dan simbol penyatuan kepada kesedaran rakyat untuk menentang penjajah kuffar sebagaimana yang dimanifestasikan oleh dua peristiwa tersebut di Tanah Melayu.

Di luar Tanah Melayu seperti Indonesia, Mesir, libya, Algeria, Iraq, Iran, Sudan, Nigeria dan negara umat Islam yang lain. Islam telah menjadi kuasa pengerak yang ampuh dalam membajai perjuangan menentang penjajah Barat dan menyuntik energi perjuangan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.

Ulama dan gerakan Islam telah menjadi pemacu utama dalam perjuangan menentang penjajahan di seluruh bumi umat Islam seperti Sheikh Abdul Quader Al Jazair di Algeria, Sheikh Umar Mukhtar di Libya, Sheikh Uthman Den Fodio di Nigeria, Hassan Al Banna di Mesir, Sheikh Amin Al Husini di Palestin, Sultan Hasanuddin dan Iman di Ponegoro (Perang Jawa 1825- 1830) di Indonesia, Tuan Guru Hassan bin Munas atau dikenali sebagai Tok Janggut (1915) dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong (1922-1928) di Tanah Melayu.

Malangnya bagi umat Islam ialah walaupun kemenangan menentang penjajah adalah kerana kegigihan ulama dan pendokongnya tetapi buah kemanisan kejayaan kemerdekaan telah dipetik oleh golongan sekular berpendidikan Barat seperti Front Liberatian Nasionalis (FLN) di Algeria, Soekarno dan kelompoknya di Indonesia dan UMNO di Tanah Melayu. Kelompok ini yang telah mengisi kemerdekaan dengan sistem dan nilai-nilai yang ditinggalkan oleh penjajah.

Di Mesir tertubuhnya Ikhwanul Muslimin oleh Hassan Al- Banna pada tahun 1928 di subcontinent tertubuhnya Jamaat- e-Islami oleh Maulana Maududi, Jamaah An-Nur di Turki, Majlis Syura Muslimin di Indonesia dan PAS di Tanah Melayu.

Sejarah penubuhan PAS adalah berkaitan dengan sejarah perjuangan Hizbul Muslimin, sebuah gerakan Islam kontemporari yang telah diharamkan oleh penjajah British pada bulan Jun tahun 1948.

Hizbul Muslimin ditubuhkan Maahad Al-Ehya As-Syariff di Gunung Semanggol, Perak dengan idea daripada tokoh-tokoh politik kiri seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Kiai Masyhur Azahari, seorang pemimpin kanan Majlis Syura Muslimin (MASYUMI).

Parti ini ditubuhkan secara rasmi pada 17 Mac 1948 di bawah pimpinan seorang tokoh agama, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan didukung oleh kalangan elit agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama- agama tradisional seperti guru-guru serta pelajar agama.

Pertubuhan politik Islam ini telah mengsasarkan tiga matlamat utama perjuangannya iaitu untuk membebaskan bangsa Melayu dan Tanah Melayu daripada penjajahan, membentuk negara Islam yang bersifat sejagat dan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Islam.

Dengan citra besar dan nuansa yang murni inilah yang memungkinkan British menghidu bahaya yang dibawa oleh parti Islam ini yang dilihat mampu menggembleng sokongan orang Melayu. Penjajah British seperti yang diungkapkan Sir Lord Cromer (The Modern Egypt) tidak akan membenarkan tegaknya negara Islam di mana sahaja wilayah jajahan British walaupun sesaat.

Penulis adalah AJK PAS Pusat.