KUALA TERENGGANU – Sambutan Maulid Ar-Rasul perlu dilihat lebih daripada sekadar perarakan atau majlis tahunan, sebaliknya mesti menjadi roh penghayatan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian umat Islam.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Ustaz Abdul Hadi Mohamad berkata, hari kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah detik paling agung dalam sejarah manusia kerana Baginda diutus sebagai rahmat kepada seluruh alam.
“Menyambut Maulid bukan hanya mengingati kelahiran Baginda, tetapi mengingatkan kita kepada nikmat terbesar iaitu diutusnya Rasulullah SAW sebagai pembawa cahaya iman.
“Bila kita hadir majlis Maulid, mendengar sirah, membaca selawat dan menyebut akhlak mulia Rasulullah SAW, hati kita akan bertambah cinta,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, generasi muda khususnya perlu dididik dengan kisah perjuangan Baginda supaya cinta mereka tidak hanya pada idola dunia, tetapi kepada kekasih Allah yang menjadi teladan sepanjang zaman.
Ustaz Hadi menambah, umat Islam hari ini sedang berdepan cabaran besar melibatkan akidah dengan fahaman liberal, sekular dan syirik moden, selain kerosakan akhlak akibat hiburan melampau serta pengaruh media.
“Jawapan kepada semua cabaran ini ialah kembali kepada Rasulullah SAW. Dengan menjadikan Baginda sebagai panduan hidup, akidah kita akan terpelihara dan akhlak kita akan terdidik,” katanya sambil mengingatkan firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 bahawa Rasulullah adalah contoh teladan terbaik.
Beliau turut menegaskan agar sambutan Maulid tidak hanya menjadi acara seremonial, sebaliknya diterjemahkan dalam bentuk amal sepanjang masa.
“Jika Rasulullah menjaga solat, maka kita wajib menjaga solat. Jika Baginda berakhlak mulia dengan keluarga dan jiran, kita juga mesti mencontohinya.
“Dan jika Baginda berjuang menegakkan Islam, kita juga mesti menyambung perjuangan itu,” tambahnya.
Selain itu, antara amalan yang digalakkan sempena Maulid ialah memperbanyakkan selawat, mendengar dan menghayati sirah, mengadakan majlis ilmu, bersedekah serta melakukan amal soleh seperti membaca al-Quran, berdoa dan qiamullail.
Justeru itu, beliau menyeru seluruh umat Islam agar menjadikan Maulid sebagai titik tolak memperbaharui azam untuk menghidupkan sunnah Nabi SAW dalam solat, akhlak, muamalat, rumah tangga dan perjuangan menegakkan agama.




























