Masalah Penceraian; Kurangkan Beban Rakyat Bukan Dengan ‘Second Honeymoon’

1010

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu melahirkan rasa dukacita dan kebimbangan berhubung kadar perceraian yang tinggi, yang berlaku di dalam daerah Kuala Terengganu.

Ketua Pemudanya, Mohd Azrin Hj Mohd Aris mendakwa perkara tersebut ada hubungkai dengan faktor tekanan perbelanjaan mengurus keluarga yang tinggi terutamanya selepas kerajaan memaksa rakyat menerima sistem percukaian GST.

Oleh itu, beliau menggesa pihak kerajaan mengambil langkah segera yang perlu bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.

“ (Kami)menggesa pihak kerajaan mengambil langkah segera yang perlu bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat akibat sistem GST ini selain bebanan lain yang ditanggung warga Bandaraya Kuala Terengganu.

“Selain daripada itu, kurangnya budaya ilmu dan bercambahnya program-program hiburan melalaikan dalam masyarakat merupakan faktor penyumbang kadar perceraian ini,”ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihak kerajaan negeri juga disarankan mempergiatkan usaha mengimarahkan budaya ilmu di pelbagai institusi kerajaan dan menghentikan serta merta program hiburan yang melalaikan.

“ (ia) yang menyebabkan masyarakat kurang berminat dengan majlis ilmu sehinggakan kurang kefahaman mereka tentang agama.

“Antara lain yang perlu difikirkan oleh kerajaan negeri ialah menambahkan kemudahan-kemudahan dan program yang membuka ruang kepada masyarakat untuk meluangkan masa bersama keluarga masing-masing,”jelas Azrin.

Beliau meempersoalkan, perbelanjaan tinggi yang dilakukan oleh kerajaan untuk membiayai program ‘bulan madu kedua’ (Second Honeymoon), sedangkan katanya, ia tidak berkesan untuk mengurangkan kadar penceraian yang berlaku.

“Program Second Honeymoon gagal mencapai matlamatnya apatah lagi bagi (untuk) mengurangkan kadar perceraian yang tinggi ini.

“Dengan kos RM670,793.35 daripada tahun 2009 sehingga april 2015 yang melibatkan 863 pasangan, ia dilihat suatu program yang perbelanjaan sangat tinggi dan tidak munasabah dengan purata perbelanjaan setiap pasangan ialah sebanyak RM777.00,”tegasnya.

Apatah lagi, kata beliau, kadar perceraian pada tahun 2015 sehingga april iaitu sebanyak 165 kes adalah melebihi penyertaan program tersebut sebanyak 103 pasangan seluruh Negeri Terengganu.

Beliau difahamkan, kebanyakkan peserta program tersebut bukanlah sasaran ataupun pasangan yang bermasalah .

“dan ini jelas satu pembaziran berdasarkan matlamat yang ingin dicapai.

“Sesungguhnya pembinaan masyarakat itu lahir daripada pembinaan keluarga yang sakinah dan daripada pembinaan insan yang murni,”tambah Azrin.