Mahkamah Rayuan membatalkan saman 711 pengguna terhadap kerajaan negeri Selangor dan dua lagi berhubung isu air percuma.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Zaharah Ibrahim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi membatalkan saman berkenaan.
Panel itu, yang turut dianggotai Datuk Anantham Kasinater dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, bagaimanapun tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Kerajaan negeri Selangor, Abdul Khalid dan Syabas mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Feb lepas yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman itu.
Responden merupakan penduduk Shah Alam yang memfailkan saman pada 11 Sept tahun lepas menuntut ganti rugi lebih RM400,000 selepas mendakwa tidak menerima subsidi air seperti yang dijanjikan kerajaan negeri Selangor.