Mahkamah Agung Sepanyol Batal Larangan Berpurdah

930
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita16/Spanish%20Court%20Overturns%20Burqa%20Ban.jpg

Mahkamah juga menolak alasan bahawa pemakaian purdah dan burka mencetuskan ancaman keselamatan, yang  telah  dikuatkuasa pemerintah Sepanyol pada 23 Jun 2010 dengan undian Senat 131 – 129 menyokong pengharamannya.

Keputusan Mahkamah Agung yang telah dibuat pada 14 Februari lalu, hanya diumumkan kelmarin, dengan hujah para hakim menyatakan larangan itu hanya akan meningkatkan diskriminasi dan bukannya membantu mengatasinya.

Ini kerana larangan itu akan memaksa segelintir wanita hanya duduk di rumah dan lantas tidak dapat berintegrasi dengan anggota masyarakat Sepanyol yang lain.

Pihak berkuasa Lleida sebelum ini berkata para pendatang akan mengalami kesukaran berinteraksi dengan masyarakat lain jika mereka memakai purdah dan burka.

Amalan itu akan turut menjejas budaya setempat dan mencetuskan ancaman keselamatan.

Pemakaian purdah dan burqah itu dilarang di 130 lokasi, termasuk pusat sivik dan kolam renang tiga tahun lalu.

“Saya percaya burka dan purdah, serta pakaian serupa yang menutup seluruh muka, bertentangan dengan dasar hak sama rata di antara wanita dengan lelaki. Ia juga satu serangan ke atas maruah wanita.

“Saya percaya hak sama rata ini merupakan satu perkara yang diperjuangkan oleh masyarakat kami sejak beberapa tahun lalu dan tidak ada sebab, sama ada agama atau budaya, yang boleh menentang prinsip asas ini,” kata Datuk Bandar Lleida, Encik Angel Ros, ketika itu.

Undang-undang tersebut melarang pemakaian “purdah atau pakaian lain yang menutup muka” yang menyukarkan identiti seseorang itu dikenal pasti di “bangunan dan prasarana majlis bandaran”.

Pesalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga 600 euro ($971).

Pada masa itu, larangan yang serupa telah dikuatkuasakan di Perancis dan Belgium, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat di Eropah.

Barcelona dan bandar lain di Catalonia telah mengikut contoh bandar Lleida dengan menguatkuasakan larangan yang serupa.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada keputusan Mahkamah Agung itu akan turut diguna pakai di bandar-bandar lain.

Sebahagian besar daripada 47 juta penduduk Sepanyol merupakan penganut Roman Katolik.

Jumlah pendatang yang menetap di Sepanyol telah meningkat daripada setengah juta pada 1996 kepada 5.7 juta pada 2009. – AFP, Reuters