Oleh : Wan Sukairi Wan Abdullah
Saya begitu teruja untuk berjumpa dengan dua orang ulama tersohor dunia dan seorang yang namanya belum dikenali pada waktu itu tetapi telah giat berdakwah di seluruh dunia iaitu Habib Ali Zainal Abidin Al Jufri.
Tidak lama, saya sampai di sebuah bangunan rumah tiga tingkat yang merupakan kediaman Habib Ali Zainal Abidin Al Jufri yang telah sudi menerima saya sebagai tetamu beliau selama mana yang saya mahu.


Saya disambut oleh beliau dan beberapa orang yang bersama beliau. Saya dipersilakan masuk. Apabila melihat beg saya hanya kecik saja, beliau bertanya saya adakah ini saja beg saya? Saya menjawab, ada lagi tapi semuanya saya tinggalkan di airport Jeddah. Untuk makluman, beg saya itu saya letak begitu saja di tepi kerusi kerusi airport, bukannya di tempat khas simpanan beg. ” Insyaallah selamat” jawab Habib Hussain
Habib Ali Al Jufri dilahirkan di Jeddah pada tahun 1971, silsilah beliau sampai kepada Rasulullah SAW. Sekarang beliau adalah Pengarah Tabah Foundation, Ahli Lembaga Pengarah Madrasah Darul Mustafa di Tarim, Hadroulmout, Yaman. Pada tahun 2009 beliau pernah disenaraikan di kedudukan ke 37 dalam 500 orang Muslim yang paling berpengaruh di dunia.
Subhanallah, bertuah sungguh rasanya, susuk yang begitu dikenali dunia sekarang ini pernah menerima saya sebagai tetamunya. Beliau telah menyediakan segalanya kepada saya. Setiap hari saya dihidangkan dengan nasi mandy kambing. Pakaian saya semuanya dihantar ke pusat dobi. Saya juga disediakan sebuah kereta bersama drivernya sekali untuk menyelesaikan urusan saya. Bukan itu saja, saya juga dibekalkan dengan sejumlah wang saku. Allah….. rahmatnya…..
Selama dua minggu saya tinggal bersama beliau, kami makan, minum, bersembang dan pernah bermusafir beberapa kali hatta ke Mekah bersama-sama walaupun saya tidak mempunyai visa lagi untuk masuk ke Mekah. Pernah berlaku ketika saya dan Habib Ali serta lima, enam orang lagi rakan beliau ke Mekah dengan menaiki sebuah MPV, tiba di border pintu masuk Mekah, MPV kami ditahan oleh polis yang menjaga chek point itu. Seorang pegawai polis telah menyuruh driver untuk memperkenalkan semua penumpang MPV kami. Saya waktu itu berada di baris ke-2, saya bimbang jika polis melihat saya, mungkin akan berlaku masalah jika passport saya diperiksa memandangkan tidak ada visa umrah di dalamnya. Habib Ali yang berada di belakang saya seperti tahu kebimbangan saya terus bertindak mengeluarkan kepalanya dari tingkap MPV sambil memberi salam kepada polis itu. Melihat wajah Habib Ali, terus pegawai polis berkenaan berkata ” OK, jalan terus……” lega saya, Habib Ali hanya senyum sambil mengucapkan Alhamdulillah.


Pada malam pertama saya di rumah beliau, Saya telah diajak untuk ke rumah Sayyid Muhammad Bin Alawi Al Maliki Al Hasani untuk menghadiri satu majlis yang turut dihadiri oleh Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafiz.
Sayyid Muhammad Bin Alawi Al Maliki Al Hasani adalah seorang ulama tersohor di dunia khususnya di Mekah. Beliau lahir pada 1944 di Kota Mekah. Keluarga beliau adalah qabilah yang paling berpengaruh dan terkenal di Mekah. Pada umur 15 tahun, Sayyid Muhammad Al Alawi telah mengajar di Masjidil Haram. Datuk beliau, Sayyid Al Abbas Al Maliki pernah menjadi mufti dan qadhi di Mekah, serta imam dan khatib di Masjidil Haram.
Sayyid Muhammad Al Alawi menerima Phd dari Al-Azhar University ketika berumur 25 tahun. Beliau meninggal pada tahun 2004. Majlis pengkebumiannya dihadiri ratusan ribu orang, dan dikatakan terbesar dalam tempoh 100 tahun.
Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafiz pula adalah seorang ulama yang tidak asing lagi. Dilahirkan di Hadroulmout Yaman pada tahun 1963. Silsilahnya juga sampai kepada Rasulullah SAW melalui Saidina Hussain Bin Ali Bin Abi Talib. Habib Umar berdakwah di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Beliau pernah menduduki ranking ke 50 dari 500 Muslim berpengaruh di dunia.
Sebaik tiba di rumah beliau saya telah dibawa untuk berjumpa dengan Sayyid Muhammad Al Alawi, Sebaik saja berhadapan dengan beliau saya memberi Salam, Saya diperkenalkan oleh Habib Hussain, beliau terus menjawab salam saya sambil memeluk saya dengan erat. Saya bukan sahaja di peluk, bahkan Syeikh Sayyid Muhammad juga menggangkat saya sehingga kedua kaki saya tergantung. Saya, semasa itu tidaklah sebesar sekarang. Heeeeee… saya merasa begitu dihargai dan mesra apabila diperlakukan begitu oleh Syeikh Sayyid Muhammad. Saya juga buat kali pertama dapat bersalam dengan Habib Umar Bin Hafiz.


Kemudian kami solat maghrib dan isya bersama sama dengan hampir 100 orang tetamu lain. Rasanya hanya saya seorang dari Malaysia, lainnya semua orang arab dan beberapa orang dari Indonesia yang bermastautin di Mekah.
Dalam majlis itu, kelibat saya paling mudah dilihat kerana hanya saya seorang saja yang berpakaian baju kemeja dan berseluar, yang lain semua berjubah putih. Selepas solat isya di adakan majlis zikir dan qasyidah. Majlis itu begitu meriah. Saya melihat Habib Ali turut menari seperti rentak tarian orang Yaman. Diakhir majlis kami telah mendengar tazkirah oleh Sayyid Muhammad Al Alawi dan Habib Umar Bin Hafiz, yang lebih istimewanya ialah para hadirin berteriak meminta agar Syeikh Sayyid Muhammad Al Alawi memberikan ijazah semua buku buku karangan beliau yang akhirnya Syeikh Sayyid Muhammad bersetuju dan mengijazahkan semua kitab karangan beliau kepada semua tetamunya.
Agenda akhir ialah acara yang saya nantikan, iaitu jamuan makan nasi mandy kambing. Fuhhhh Alhamdulillah……… enak bangat weehhhhh.
Majlis berakhir dan saya pulang ke rumah Habib Ali dengan penuh kesyukuran kerana dapat bersama dengan para ulama yang tersohor dunia……..Bersambung




























