KOPAS Terus Bertahan

1181

SETIU – Koperasi Pembangunan Anak Setiu Berhad (KOPAS) masih terus bertahan semenjak ditubuhkan pada tahun 2003 bagi membantu meningkatkan penguasaan ekonomi penduduk-penduduk kampung di Setiu.

KOPAS diwujudkan ketika zaman pemerintahan kerajaan PAS dan sehingga kini tetap teguh berusaha memberikan pulangan terbaik kepada pemegang-pemegang saham koperasi walaupun dalam keadaan ekonomi yang agak suram.

Khamis lalu, KOPAS telah mengadakan mesyuarat agung tahunannya ke- 13 yang diadakan di Dewan Markas PAS Kampung Rahmat, Setiu.

IMG_20161002_101726Menurut setiausahanyanya, Encik Wan Ramli Wan Abdullah, KOPAS ditunjangi oleh 130 orang ahli dari seluruh kawasan Setiu yang sentiasa komited menyokong KOPAS yang menjalankan perniagaan hartanah semenjak ia ditubuhkan dahulu lagi.

“KOPAS ditubuhkan pada tahun 2003 dan sehingga kini mempunyai seramai 130 orang keahlian dari seluruh kawasan Setiu.

KOPAS sehingga kini hanya menumpukan perniagaan hartanah sahaja,” jelas Wan Ramli.

Mesyuarat agung yang turut dihadiri oleh Pengerusi KOPAS Encik Azmi Maarof serta kira-kira 50 orang ahli KOPAS itu, telah dirasmikan oleh Adun Bukit Payung, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa, perniagaan yang Islam anjurkan, mesti berteraskan empat asas sifat rasul iaitu siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan perkara sebenar berkenaan perniagaan) dan fathanah.

Kesemua hal ini perlu ditekankan agar perniagaan tidak akan menjadi sia-sia kerana hanya memikirkan keuntungan dunia sahaja tanpa memikirkan pahala yang turut akan diperolehi jika beramal dengan empat asas tadi.

“Kita berniaga, kena ada empat sifat rasul iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fathanah.

IMG_20161002_101559Jujur dan amanah pengurusan dari atas sampai bawah, kerana kita pegang duit pelabur, serta bertanggungjawab bukan sahaja terhadap harta-harta tetapi juga kepada pekerja-pekerja koperasi.

Tanggungjawab lain ialah ahli-ahli kena guna kesempatan bagi menjadikan koperasi ini sebagai medan dakwah dan bukan hanya memikirkan keuntungan dunia sahaja,” saran beliau kepada ahli-ahli.

Menurut beliau lagi, kaum bukan melayu, sentiasa menjadikan koperasi dan persatuan-persatuan lain sebagai salah satu cara bagi mendesak kerajaan ataupun parti politik lain bagi menguatkan persatuan mereka.

Bahkan ada sebahagiannya berjaya mengetengahkan calon pilihanraya yang mereka cadangkan bagi kawasan-kawasan tertentu kerana kekuatan yang mereka ada berjaya mendesak parti-parti tertentu mengikut cadangan mereka.

Oleh itu, Ustaz Mohd Nor menggesa agar koperasi-koperasi muslim berpadu tenaga menguatkan antara satu sama lain bagi melindungi kepentingan ahli-ahli yang berlindung di bawah organisasi mereka serta boleh menjadi kumpulan pendesak.