KUALA NERUS – Ahli akademik, Profesor Dr Solehah Yaacob mencadangkan agar kerajaan menyediakan lebih banyak dana dan geran penyelidikan khusus bagi mengkaji semula sejarah Alam Melayu berasaskan sumber tempatan serta bukti yang sahih.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengelakkan kebergantungan berterusan terhadap naratif sejarah yang dibina oleh pihak luar.
“Jika kita tidak bertindak, kita akan terus bergantung kepada naratif yang dibina oleh pihak luar. Sudah tiba masanya kita bangkit dan menilai semula sejarah kita sendiri,” katanya.
Beliau yang juga panel tokoh sejahtera berkata demikian dalam sidang media selepas program Wacana Alam Melayu dan Ketamadunan Islam di Perkarangan Stadium Gong Badak, di sinipada Sabtu 4 April.
Dr. Solehah turut menegaskan bahawa kekuatan sesebuah bangsa bergantung kepada keupayaan mempertahankan identiti dan sejarahnya, sebagaimana yang ditunjukkan oleh negara seperti Iran, Turki dan China yang terus memelihara tamadun masing-masing.


Dalam pada itu, beliau menekankan keperluan penyelidikan yang lebih menyeluruh oleh sarjana tempatan.
“Kita sebagai orang Melayu Islam perlu meneliti semula sejarah. Kajian telah dijalankan dan terdapat bukti yang bercanggah dengan naratif sedia ada. Jadi apakah tindakan kita? Kita mesti melakukan sesuatu.
“Sebab bukti DNA sudah menunjukkan dan data manuskrip juga menyebut serta data-data klasik dan dokumentasi.
“Perkataan Melayu ini sehinggakan ada satu seorang profeser, dia kata ada satu bangsa ini hebat dalam maritim. Tetapi di manakah bangsa itu? Seorang profesor Amerika. Kemudian kemudian dia tanya di manakah bangsa itu? Ada orang jawab mereka itu adalah Orang Malaysia.
“Mustahil orang Malaysia. Sebab orang Malaysia itu lembut. Macam boleh bertolak ansur. Mustahil itu orang Melayu. Sebenarnya kita sudah dijajah. Kita sudah dikolonialise. Justeru dia melibatkan psikologi impak kepada kita dalam kehidupan,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan penganjuran lebih banyak persidangan ilmiah seperti Ijtimak Alam Melayu bagi membincangkan garis masa dan perkembangan sebenar tamadun Melayu.


Profesor Solehah juga memuji penganjuran wacana ilmiah berkaitan sejarah dan tamadun Alam Melayu, sambil berharap program seumpama itu diteruskan secara konsisten.
Menurutnya, program sedemikian mampu memperkukuh jati diri masyarakat dengan memberi ruang untuk memahami sejarah dan warisan tamadun bangsa secara lebih tepat.
“Ini adalah program yang membina kesedaran serta keyakinan terhadap identiti Melayu,” katanya.
Beliau menambah, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan generasi akan datang dapat menilai sejarah secara objektif dan bebas daripada sebarang penyelewengan naratif.
“Insya-Allah, jika diteruskan, program sebegini akan memberi impak positif kepada pemerkasaan jati diri dan kesedaran sejarah masyarakat Melayu,” ujarnya.
Nilai Semula Naratif Sejarah Melayu


Naratif sejarah Melayu perlu dinilai semula berikutan dakwaan wujudnya pengaruh propaganda kolonial yang menjejaskan kefahaman terhadap identiti, tamadun dan jati diri bangsa Melayu sejak abad ke-19.
Ahli Akademik Profesor Dr Solehah Yaacob berkata, penulisan sejarah selepas era tersebut didakwa banyak dipengaruhi pihak kolonial Barat yang cuba membentuk persepsi tertentu terhadap orang Melayu, termasuk menidakkan peranan dan kewujudan mereka dalam sejarah awal rantau ini.
Katanya, tokoh seperti Francis Light tidak semestinya mempunyai kepentingan politik pada peringkat awal, namun naratif yang dibina kemudian telah mengubah persepsi terhadap sejarah sebenar.
“Saya sering menyebut di media sosial dan video bahawa propaganda untuk menidakkan kewujudan orang Melayu bermula selepas 1800-an.
“Apabila penemuan seperti Candi Buddha di Lembah Bujang ditemui oleh James Low pada abad ke-19, mereka cuba membina naratif bahawa orang Melayu pada asalnya beragama Hindu-Buddha,” jelasnya.
Tambah beliau, kesan penjajahan bukan sahaja melibatkan penguasaan fizikal, tetapi turut merangkumi penguasaan terhadap sumber sejarah seperti manuskrip, artifak dan dokumen penting yang kini banyak berada di luar negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik kandungan buku teks sedia ada yang disifatkan tidak menampilkan perspektif menyeluruh mengenai sejarah Melayu, sehingga mendorong sebahagian ibu bapa memilih alternatif seperti pendidikan di rumah (homeschool) dan sekolah tahfiz.




























