Kerajaan Perlu Jawab Permohonan Rasmi Persekutuan Wanita Mongolia (MWF)

1155
http://buletinonline.net/images/stories/aberita21/wanita%20mongolia.jpg

Ketua Penerangan DPPM Ustaz Riduan Mohd Nor berkata kerajaan Malaysia sepatutnya merasa malu dengan tuntutan daripada organisasi wanita Mongolia baru-baru ini yang pastinya menjadi tajuk perbualan negara-negara luar.

“berikutan permohonan rasmi daripada Delegasi Mongolia, diwakili Persekutuan Wanita Mongolia (MWF) ketika Sidang kemuncak Global Wanita di Kuala Lumpur beberapa hari lalu yang menuntut jawapan di atas kematian misteri atau pembunuhan warga Mongolia itu.

“Sepatutnya kerajaan Malaysia merasa malu dengan tuntutan daripada organisasi wanita Mongolia ini. Permohonan mereka pastinya menjadi tajuk perbualan negara-negara luar dan mungkin menjadi berita utama media-media mereka.

“Tuntutan mereka menandakan ada sesuatu yang belum selesai yang perlu diperjelaskan kepada seluruh rakyat supaya semua pihak berpuas hati. Timbul persoalan mengenai integriti mahkamah serta keadilan rakyat khususnya warga luar terhadap proses menuntut keadilan di negara ini,”ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan, kerajaan mesti berlaku adil terhadap semua pihak dan tidak boleh merahsiakan fakta dengan menyembunyikan kebenaran disebalik kes ini kerana selama ianya dirahsiakan, selama itulah rakyat menuntut penjelasan.

Bahkan, katanya, ia akan mewujudkan persepsi buruk terhadap proses keadilan di negara ini. Selain itu, kerajaan perlu berani dengan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dalam kes ini.

“Sesiapa sahaja yang bersalah wajar dihadapkan ke muka pengadilan sekalipun mereka mempunyai kedudukan, pangkat serta menjadi orang penting dalam negara.

“Dalam hal ini, bukan setakat warga Mongolia, malah rakyat Malaysia sendiri tertanya-tanya apakah misteri disebalik pembunuhan tersebut. Bagaimana dua orang anggota polis Unit Tindakan Khas (UTK) yang bertugas menjaga keselamatan pemimpin negara boleh terlibat secara langsung membunuh wanita tersebut dan apakah motif pembunuhannya.

“Lebih dari itu, siapa sebenarnya yang mengarahkan atau bertanggungjawab merancang pembunuhan itu? Tidak ada insan yang berfikiran waras boleh menerima alasan tidak kukuh sesuatu pembunuhan dibuat tanpa motif lebih-lebih lagi ia dilakukan oleh pasukan keselamatan,”jelasnya

Beliau berkata, persoalan mudah ini perlukan jawapan segera dan kerajaan perlu memberi respons yang meyakinkan bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan.

“Warga Mongolia dan rakyat Malaysia percaya misteri ini akan terjawab hanya dengan jawapan yang konkrit melalui perbicaraan yang telus dan adil kepada semua pihak,”tambahnya