Kerajaan Anwar; Campuran Atau Kerajaan Perpaduan?

458
Perdana Putra Complex, Putrajaya, Malaysia

Kerajaan Perpaduan bukan perkara baharu di Malaysia kerana idea penubuhan kerajaan perpaduan pernah pertama kali dicadangkan oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Tuan Guru Hadi Awang pada tahun 2009, iaitu gabungan di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PR).

Ketika itu pengerusi BN ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5.

Namun setelah BN dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Razak, idea tersebut ditarik balik oleh Presiden PAS dengan alasan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia disebabkan rakyat Malaysia belum bersedia menerimanya.

Tindakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah menganjurkan penubuhan Kerajaan Perpaduan berdasarkan hasrat murni baginda agar Kerajaan Malaysia menjadi lebih stabil berbanding sebelum ini yang agak goyah sehingga terpaksa bertukar Perdana Menteri sebanyak tiga kali.

Ia membuktikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam berhadapan dengan kemelut ketiadaan calon yang layak ditabalkan sebagai PM ketika itu.

Namun kerajaan perpaduan yang dimaksudkan oleh baginda masih kurang jelas dalam kalangan para ahli politik dan rakyat jelata.

Ada yang menyatakan pembentukan kerajaan ketika ini sudah menepati Kerajaan Perpaduan walaupun tidak disertai oleh parti yang mempunyai ahli parlimen paling ramai iaitu PAS ataupun blok Perikatan Nasional yang mewakili 73 kerusi.

Ada yang berpendapat asalkan mempunyai pelbagai penyertaan parti yang mewakili pelbagai blok termasuk dari Semenanjung dan Borneo maka sudah dianggap kerajaan perpaduan.

Apa-apapun pentakrifan kerajaan perpaduan, ia masih berpaksikan kepada kerajaan tanpa pembangkang kecuali melibatkan pembangkang dari parti-parti kecil yang enggan terlibat bersama mengurus negara.

Jika gabungan parti besar tidak terlibat maka pentakrifan kerajaan perpaduan tidak dianggap berlaku sepenuhnya. Istilah yang lebih sesuai digunakan ialah kerajaan campuran sebagaimana berlaku sebelum ini iaitu Kerajaan Perikatan Nasional yang melibatkan gabungan di antara BN, PAS, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah dan Bebas.

Menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Univerisiti Malaya, Dr Ridzwan Ahmad Akademi, walau bagaimana pun istilah kerajaan perpaduan jika diguna pakai sekalipun sebagaimana ketika ini maka merujuk kepada makna majazi (lafaz yang tidak dimaksudkan makna asal kerana ada perluasan makna lain) bukan makna haqiqi (makna asal).

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini tidak lagi sesuai diklasifikasikan sebagai Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kerajaan campuran melibatkan gabungan beberapa blok parti politik.

Pensyarah Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, Perikatan Nasional (PN) telah mengesahkan mahu menjadi pembangkang dan akan memainkan peranan semak dan imbang di Dewan Rakyat nanti.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah satu ‘Kerajaan Perpaduan’, tetapi ia lebih tepat ditakrifkan sebagai ‘Kerajaan Pakatan Harapan’.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof menjelaskan, Istilah ‘Kerajaan Perpaduan’ yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tepat memandangkan Perikatan Nasional (PN) mahu memainkan peranan sebagai pembangkang.

Katanya, apabila sesebuah kerajaan ditadbir dan disokong oleh beberapa buah parti, maka kerajaan itu dikenali sebagai ‘Kerajaan Campuran’ atau ‘Coalition Government’.

Justeru katanya, Kerajaan Persekutuan Malaysia yang diterajui oleh Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH) dan disokong oleh Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti kecil lain termasuk dalam kategori ‘Kerajaan Campuran’.
Jelasnya lagi, ‘Kerajaan Campuran Besar’ atau ‘Grand Coalition Government’ pula merujuk kepada kerajaan yang menggabungkan dua parti atau gabungan parti terbesar, walaupun parti-parti lain tidak menyertainya.

Manakala Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan yang dibentuk oleh Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri bukan kerajaan perpaduan, mengatakan ia didominasi oleh DAP dan Perikatan Nasional (PN) bukan merupakan sebahagian daripadanya.

Dalam sebuah kenyataan, Faizal berkata PN yang mewakili orang Melayu tidak dimasukkan dalam pembentukan kerajaan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Anwar menjadi PM bukan dengan sokongan majoriti rakyat tetapi melalui pencaturan politik dengan BN, di mana Anwar berjanji kepada rakyat semasa kempen tidak akan bergabung dengan BN yang terpalit dengan skandal dan rasuah.

“Lain daripada Muhyiddin Yassin yang enggan berurusan dengan Zahid, atau pun menggugurkan tuduhan rasuah terhadap beliau semasa Muhyiddin memegang jawatan PM.” ujar beliau

Contoh kerajaan perpaduan di seluruh dunia adalah seperti di bawah;

Greece
Pada November 2011, Lucas Papademos, seorang pakar ekonomi dilantik sebagai Perdana Menteri Greece bagi mengeluarkan negara itu dari krisis ekonomi. Antara syarat yang diletakkan Papademos ialah pembentukan kerajaan yang terdiri daripada pemimpin kedua-dua parti politik utama Greece, iaitu New Democracy dan Panhellenic Socialist Movement (PASOK).

Afghanistan
Pilihan raya Presiden Afghanistan pada 2014 berhadapan kebuntuan apabila dakwaan penipuan menyelubungi kemenangan Ashraf Ghani ke atas Abdullah Abdullah. Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan yang akhirnya dipersetujui kedua-dua calon. Asyraf dilantik sebagai Presiden manakala jawatan baharu, Ketua Eksekutif diwujudkan dan diberikan kepada Abdullah.

Israel
Israel antara negara yang kerap menubuhkan kerajaan perpaduan. Sejak 1967, negara itu telah mempunyai 10 kerajaan perpaduan yang dibentuk. Kerajaannya ketika ini, iaitu kerajaan ke-36 atau turut dikenali sebagai Kerajaan Bennet-Lapid dikatakan sebagai kerajaan perpaduan paling rencam yang pernah ditubuhkan di Israel dengan penyertaan parti berhaluan kanan, tengah, kiri dan juga satu parti Islam.

Itali
Kabinet ke-67 Itali yang dikenali sebagai Kabinet Draghi ditubuhkan bagi menghadapi cabaran krisis kesihatan, ekonomi dan sosial akibat penularan wabak Covid-19. Kabinet itu diketuai bekas Presiden Bank Pusat Eropah, Mario Draghi selepas peletakan jawatan Giuseppe Conte. Kabinet ini disifatkan sebagai Kabinet teknokrat dengan penyertaan ramai teknokrat bebas selain pemimpin dari pelbagai parti politik berbeza haluan.

Kenya
Pada 2008 hingga 2013, Kenya diperintah kerajaan perpaduan kebangsaan yang disertai dua parti seteru, Gerakan Demokratik Oren (ODM) dan Parti Perpaduan Kebangsaan (PNU). Rundingan antara kedua-dua parti berlaku bagi menamatkan krisis politik akibat Pilihan Raya Presiden pada 2007.

– sumber pelbagai media