Keluarkan tanah RTB Kubang Labi Dari ‘Layout’ Projek Udang

1201

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2010/08/DSC00378.JPGSukacita dimaklumkan, dalam rangka untuk menangani isu-isu berkaitan kepentingan rakyat yang timbul ekoran perlaksanaan Projek i-SHARP, Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH telah mengadakan pertemuan dengan pihak pemaju i-SHARP, Syarikat Blue Archipelago Berhad yang diketuai Puan Nor Hayati Awang (Program Director),

Wan Nadhri Hj Wan Fauzi (Head Corporate & Legal Affairs), Sharizal Shaarani (Manager Strategic Communications), Mazlan Mahmood (Senior Manager Special Projects), Nazrul Fadhlee Mahmud Zuhodi (Manager Human Resources) dan Hajah Tarmizah Tambychik (Manager Group Human Resource & Admin). Pertemuan pada petang sabtu 24 Julai 2010 bertempat di Ryaz Heritage, Pulau Duyong, Terengganu.

(Gambar – seorang peserta RTB Kubang Labi menunjukkan sempadan tanahnya yang bakal di ‘ambil’ oleh projek i-SHARP)

Berhubung dengan pertemuan tersebut, Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak pemaju atas kesudian mereka bertemu dan membina jambatan dengan pihak kami dan keikhlasan mereka untuk mendengar suara dan rintihan rakyat yang kami ajukan ke pengetahuan mereka. Atas keyakinan untuk memastikan tidak ada pihak yang teraniaya ekoran dari perlaksanaan projek i-SHARP ,

Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH amat optimis dengan respon dari pihak pemaju  dan meletakkan pengharapan tinggi bagi mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak, walaupun pertemuan awal ini belum lagi menghasilkan sebarang keputusan dalam bentuk hitam putih kerana kami amat memahami karenah birokrasi yang perlu dihadapi pihak pemaju untuk membuat sesuatu keputusan. Medan pertemuan ini telah membolahkan kami mendapatkan beberapa penjelasan dalam hal berkaitan dari pihak pemaju di samping  suara dan hasrat masyarakat yang kami utarakan kepada mereka.

Sememangnya pendirian Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH tegas dan jelas. Kami tidak pernah, sedang atau akan menghalang perjalanan Projek i-SHARP, tetapi kami tidak mahu ada pihak yang teraniaya. Antara isu utama yang diperjuangkan adalah hak 40 orang peserta RTB Pertanian Kubang Labi, Kampung Banggol Permaisuri yang bakal kehilangan tanah pertanian apabila kebun yang telah mereka usahakan sebagai sumber pendapatan keluarga semenjak kira-kira 8 tahun yang lalu akan lenyap bagi memberi laluan kepada perlaksanaan Projek i-SHARP.

Tanah adalah nadi kehidupan bagi petani, lantas kehilangan tanah bagi mereka adalah amat menyedihkan, lalu kami dengan penuh rasa simpati kepada rakyat bawahan yang terlibat mengajukan harapan bagaimana kalau kiranya tanah yang telah dan sedang memberikan hasil kepada 40 peserta RTB ini dengan keluasan kira-kira 40 hektar (98.8 ekar) dikecualikan dari dibina kolam udang. Kami sedia maklum Projek i-SHARP meliputi kawasan Kampung Nyatoh dan Kampung Banggol dengan keluasan 1,000 hektar (2,471 ekar), lantas apakah akan memberikan satu impak besar yang negatif kepada pemaju sekiranya para petani yang terlibat merayu dengan linangan air mata supaya tidak diusik kebun mereka. Apakah kira-kira 960 hektar (2,372 ekar) tidak cukup luas untuk dibina suatu projek kolam udang? 

Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH menghargai janji pihak pemaju untuk membawa perkara ini untuk dibincangkan dengan pihak atasan. Dalam pertemuan tersebut, mereka mengakui urusan pengambil alihan tanah di Kampung Banggol masih belum lagi selesai dan semua kerja-kerja di bahagian fasa 2 projek di Kampung Banggol telah dihentikan sementara sehingga semua urusan berkaitan pengambil alihan tanah disempurnakan.  

Pihak pemaju juga mengakui kesilapan kontraktor mereka yang telah memusnahkan sebahagian kebun nenas penduduk dan telah berjanji untuk bertemu dengan pemilik kebun terbabit. Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH menghargai semua ketelusan ini dan meletakkan keyakinan tinggi sekiranya agenda perbincangan adalah untuk kepentingan rakyat, tidak ada kesulitan dan kekusutan yang tidak mampu dirungkai.

Lantas, di mana asas dan fakta apabila Setiausaha JKKK Kampung Banggol, Suhaimi Endut mengeluarkan kenyataan di sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang mendakwa tiada lagi isu yang sepatutnya timbul kerana urusan berkaitan pengambil alihan tanah semuanya sudah diselesaikan. Siapa yang lebih boleh dipercayai dalam hal ini, pemaju yang berkepentingan menyatakan ianya belum selesai tetapi Setiausaha JKKK mendakwa semuanya telah diselesaikan.

Sejujurnya Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH lebih meyakini kenyataan pemaju kerana mereka yang menguruskan perkara ini dengan Pejabat Tanah Daerah Setiu dan kami ingin memberikan peringatan keras kepada Suhaimi Endut supaya tidak melakukan pembohongan dalam perkara yang beliau tidak mempunyai fakta, kerana besar implikasinya kepada masyarakat dan dirinya sendiri.

Dr Azman bin Ibrahim
Pengerusi
Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH
31 Julai 2010