Keluarga Cina Dan Siam Dirai Menjelang ‘Gong Xi Fa Cai’

2378

SETIU – Sebanyak 20 keluarga dari kalangan masyarakat kaum Cina dan Siam di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, diraikan oleh pemimpin PAS, sempena sambutan Tahun Baru Cina, ‘Gong Xi Fa Cai’ yang bakal tiba.

Timbalan Yang Dipertua PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim berkata, mereka yang tinggal di pekan Jabi dan sekitar Kampung Renek, agak unik berbanding komuniti lain.

“Masyarakat Cina dan Siam di sini agak unik kerana Tahun Baru Cina disambut bersama oleh dua bangsa yang berlainan ini,

“Keunikan dan rasa bersama ini wujud lantaran perkahwinan campur yang berlaku antara mereka menjadikan kehidupan mereka dekat antara satu sama lain,” katnya ketika ditemui, usai program agihan hamper dan limau, pada Khamis 26 Januari.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Majlis Tindakan DUN Jabi menjelaskan, walaupun kedua-dua kelompok itu mewakili kurang dari 1% penduduk Jabi, tetapi mereka tidak dipinggirkan.

Malah katanya, mereka hidup sebagai sebahagian dari masyarakat setempat dalam kegiatan sosio-ekonomi dan tidak pelik bila orang Cina dan Siam dipanggil dengan nama Melayu sebagai panggilan mesra seharian.

Beliau berkata, program tahunan anjuran Lujnah Dakwah PAS Setiu itu juga turut mengunjungi dua wanita keturunan Cina yang telah memeluk Islam dan berkahwin dengan penduduk setempat.

Hadir sama pada ziarah itu ialah Ketua Lujnah Dakwah PAS Setiu, Ustaz Zulbhari Abdul Rahman.

Dr Azman sukacita kerana katanya, rata-rata masyarakat bukan Islam dikunjungi itu menyambut baik kedatangan ‘orang PAS’ ke rumah mereka.

“mereka sambut kita dengan baik, serta mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pimpinan PAS yang hadir ke rumah mereka untuk bertanya khabar,”jelasnya.

Sehubungan itu, seorang warga Siam yang dipanggil dengan mana ‘Mahmud’ di kalangan penduduk setempat begitu teruja menerima kunjungan tersebut.

“saya ucapkan terima kasih…..kenalan saya ramai di kalangan orang Melayu……Apatah lagi sana dah jadi keluarga warga Jabi,

“sejak zaman datuk nenek saya lagi,”kata Mahmud yang memang lahir di Kampung Renek, Jabi.