Kejahilan, Ulamak Jahat dan Pemerintah Zalim Mencabar Perjuangan Islam

766

Katanya, terdapat empat cabaran utama iaitu menghadapi golongan yang tidak faham Islam, ulama’ dunia, penguasa dalam masyarakat dan musuh tradisi Yahudi serta Nasara.

“Kita (umat Islam) kena yakin perjuangan ini terpaksa menghadapi beberapa cabaran. Pertama, cabaran orang tidak ‘reti’ (tahu) Islam. Ini yang dihadapi oleh Dewan Ulama’ dan para ulama’.

“Dari mula tubuh (PAS) lagi, masyarakat Malaysia ini khususnya tidak mengaitkan antara agama dengan politik. Masyarakat yang berfahaman sekular, fahaman ‘politik suku agama suku’.

“Kita (PAS) berusaha menghadapi cabaran ini dan akhirnya mereka terpaksa juga mengakui bahawa Islam itu tidak boleh dipisahkan dengan politik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama’ PAS Negeri Terengganu Kali Ke-47 di Dewan Banat, Madrasah Darul Quran (MDQ), Rusila, Marang, 6 Mei lalu.

Cabaran kedua, katanya ialah menghadapi golongan ulama’ dunia atau ulama’ “jahat” yang ditaja oleh pihak kerajaan bagi kepentingan pemerintah.

“Ulama’ “pulus” (duit) yang terpaksa kita (PAS) hadapinya. Golongan ini terpaksa kita (Islam) hadapi sepanjang zaman, di dalam dunia yang kita hidup ini dan dalam dunia yang umat Islam lain hidup.

“Kita (PAS) menentang Barisan Nasional (BN) yang berteraskan Umno itu kerana tidak mahu melaksanakan Islam. Kerja ulama’-ulama’ jahat ini mengakui yang kerajaan BN telah melaksanakan Islam kecuali hudud yang belum kerana suasana tidak mengizinkan,” ujarnya.

Menurut Ustaz Harun, cabaran ketiga pula kerana menghadapi pihak yang berkuasa dalam masyarakat, negeri dan negara.

Katanya, bermula di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) hingga kepada kerajaan yang memerintah negeri dan negara.

“Ketiga, orang-orang yang berkuasa dalam masyarakat. Sebab itu, kalau orang kampung lawan dengan JKKK. Sebab JKKK ini berkuasa dalam masyarakat. Selepas JKKK, lawan kerajaan pula dan bertentangan dasar-dasar parti.

“Orang yang berkuasa dalam masyarakat itu selalu memandang kerja-kerja yang dilakukan para ulama’ dengan memakai kaca matanya yang ‘hitam’. Apa yang dilakukan oleh ulama’ PAS semuanya buruk dan hendak memecah-belahkan masyarakat. Ini kita kena faham dan berusaha mengatasinya,” tegasnya.