Kegagalan Slogan Reformasi Melawan Rasuah

11

Dapat disaksikan dengan terang tanpa bersuluh, betapa slogan reformasi yang dilaungkan laksana gendang kosong yang menarik pada awalnya, akhirnya dicemuh dan menjemukan pendengar disebabkan keadaan negatif terhadap negara yang tidak berubah, khususnya dalam isu rasuah yang paling lantang diperangi yang hanya berdegar-degar dalam kenyataan dan ucapannya.

Rupa-rupanya memberikan natijah tiada perubahan kerana pendekatannya sama dengan pendahulunya yang gagal. Laksana keputusan hisab (matematik), dua kali dua dan dua campur dua, jawapan kedua-duanya adalah empat, sama sahaja tidak berbeza. Alasannya ialah mengulangi penyelesaian yang gagal dan menjadikannya bertambah parah, dengan lebih ramai pelakunya dan lebih besar jumlah angka pendapatannya, sehingga ada yang mahu terjun dari kapalnya, bahkan ada yang mahu menebuknya pula.

Puncanya ialah fitrah materialistik dalam diri manusia yang bernafsu tanpa dikawal oleh akal dan roh kerana tidak dianggap penting.

Sabda Rasulullah SAW:

لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ ‌وَادِيًا ‌مِنْ ‌ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللهُ عَلَى مَنْ تَابَ.

“Sekiranya anak Adam (manusia) memiliki satu lembah yang penuh dengan emas, nescaya dia ingin memiliki dua lembah, dan tidak akan memenuhi mulutnya melainkan tanah (kematian). Namun, Allah tetap menerima taubat sesiapa yang bertaubat.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Riqaq, no. 6439 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, no. 1048, daripada Anas bin Malik]

Rasulullah SAW menegaskan bahawa nafsu kebendaan dalam diri manusia tidak ada kepuasannya. Walaupun mendapat satu lembah yang dipenuhi emas, dia mahu lagi lembah yang berikutnya, sehinggalah mulut dan perutnya dipenuhi dengan tanah apabila jasadnya ditimbus ke dalamnya setelah roh dicabut daripada jasad.

Perubahan berlaku dalam kehidupan manusia yang bersifat madani itu apabila nawaitu politik mereka ialah takhta yang mendapat harta. Selepasnya, boleh dijangka semua kemahuan nafsu mereka dapat dihasilkan, sehingga menjadi angan-angan yang tidak selesai dan melupakan ajal yang wajib menemui mereka.

Allah mendedahkan dalam al-Quran bahawa kaum Yahudi Bani Isra’il menjadi teladan awal kepada kemusnahan manusia. Walaupun mereka disanjung dengan sifat bijaksananya dan Ahli Kitab yang dianggap manusia paling alim dalam agama, tanpa disedari merekalah kaum yang paling dimurkai Allah dan dilaknat kerana paling kufur terhadap ni‘mat Allah dalam ciptaan manusia. Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ ءَاتَيۡنَا بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦

“Dan sesungguhnya telah Kami beri Bani Isra’il al-Kitab (Taurat), kekuasaan, dan kenabian, dan Kami beri mereka rezeki-rezeki yang baik, dan Kami lebihkan mereka atas bangsa-bangsa (pada masa mereka).” [Surah al-Jathiyah: 16]

Paling ramai daripada kalangan mereka ialah para anbiya’, raja atau pemimpin negara, ilmuwan, dan hartawan. Namun, apabila mereka tidak bersyukur kepada Allah, bahkan menolak kitab Allah dan melawan para anbiya’, maka balasannya ialah mereka dilaknat di alam dunia dan akhirat, apabila ni‘mat mereka tidak berguna di alam dunia dan memikul dosa di alam akhirat.

Mereka terlalu keduniaan sehingga lupa akan adanya perhitungan akhirat dan wawasan manusia yang tidak tamat di alam dunia. Firman Allah SWT:

قُلۡ إِن كَانَتۡ لَكُمُ ٱلدَّارُ ٱلۡأٓخِرَةُ عِندَ ٱللَّهِ خَالِصَةٗ مِّن دُونِ ٱلنَّاسِ فَتَمَنَّوُاْ ٱلۡمَوۡتَ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٩٤ وَلَن يَتَمَنَّوۡهُ أَبَدَۢا بِمَا قَدَّمَتۡ أَيۡدِيهِمۡۚ وَٱللَّهُ عَلِيمُۢ بِٱلظَّـٰلِمِينَ ٩٥ وَلَتَجِدَنَّهُمۡ أَحۡرَصَ ٱلنَّاسِ عَلَىٰ حَيَوٰةٖ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۚ يَوَدُّ أَحَدُهُمۡ لَوۡ يُعَمَّرُ أَلۡفَ سَنَةٖ وَمَا هُوَ بِمُزَحۡزِحِهِۦ مِنَ ٱلۡعَذَابِ أَن يُعَمَّرَۗ وَٱللَّهُ بَصِيرُۢ بِمَا يَعۡمَلُونَ ٩٦

“Katakanlah, ‘(Wahai Bani Isra’il), jika kamu (menganggap bahawa) kampung akhirat (Syurga) itu khusus untukmu di sisi Allah, bukan untuk orang lain, maka inginilah kematian (kamu), jika kamu memang benar!’ (94) Dan sekali-kali mereka tidak akan mengingini kematian itu selama-lamanya, kerana kesalahan-kesalahan yang telah diperbuat oleh tangan mereka (sendiri), dan Allah Maha Mengetahui siapa orang-orang yang zalim. (95) Dan sungguh kamu akan mendapati mereka ialah manusia yang paling loba kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih loba lagi) daripada orang-orang Musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberikan umur seribu tahun, padahal umur panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya daripada seksa. Allah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka kerjakan. (96)” [Surah al-Baqarah: 94–96]

Sehinggakan, matlamat mereka mendapatkan kuasa politik ialah harta. Allah SWT mendedahkan sifat mereka apabila mereka menentang nabi yang mencadangkan ketua negara yang dilantik oleh Allah dengan sifat yang sebenar:

وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧

“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedangkan dia pun tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 247]

Mereka menolak Talut kerana dipengaruhi oleh politik kekayaan harta, termasuk dalam pemilihan pemimpin negara. Mereka menolak raja (ketua negara) yang dilantik oleh Allah sebagai seorang yang berilmu, bermanfaat, dan gagah perkasa (jasad dan peribadinya) kerana menginginkan seorang yang berharta, walaupun jahil, bodoh, dan pengecut.

Mereka melantik pemimpin dengan harta tanpa mengira halal dan haram, termasuk rasuah dan penipuan yang melampaui sempadan Allah. Padahal harta sahaja tidak dapat memenuhi maqasid al-syariah Allah yang menjadi petunjuk kepada manusia.

Mereka juga tidak berfikir bahawa harta sahaja tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Allah kepada Adam AS, manusia pertama di hadapan para malaikat yang melayakkan seseorang manusia mentadbir bumi.

Apabila kebendaan menjadi aqidah kaum Yahudi, maka mereka mengejar harta dan kekayaan sehingga melanggar sempadan ketetapan Allah dalam kejadian manusia tanpa mengira halal dan haram, termasuk riba yang diperangi Allah dan rasuah yang merosakkan masyarakat madani yang dijadikan amalan kaum Yahudi, menyebabkan mereka dilaknat Allah dan paling dimurkai-Nya. Firman Allah SWT:

سَمَّـٰعُونَ لِلۡكَذِبِ أَكَّـٰلُونَ لِلسُّحۡتِۚ فَإِن جَآءُوكَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُمۡ أَوۡ أَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡۖ وَإِن تُعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيۡـٔٗاۖ وَإِنۡ حَكَمۡتَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٤٢

“Mereka itu ialah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) antara mereka atau berpalinglah daripada mereka. Jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan memberikan mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil.” [Surah al-Ma’idah: 42]

Ayat ini diwahyukan ketika kaum Yahudi bersama umat Islam dalam negara masyarakat majmuk di Madinah.

Mereka mengetahui kedatangan Nabi Muhammad SAW pada akhir zaman dan menunggu kedatangannya di Madinah kerana disebut dalam Taurat dan Injil, di samping diperingatkan oleh para nabi dan ulama’ yang jujur.

Penyakit rasuah membarah dalam masyarakat Yahudi pada semua peringkat; daripada golongan agamawan yang meminda kitab Allah dan hukum-Nya, bahkan dalam kalangan para pemimpin yang mendapat kuasa dan harta, sehinggalah menular kepada seluruh anggota masyarakatnya.

Sifat memperhambakan diri kepada kesenangan dunia sehingga mereka bertuhankan nafsu serta menolak akal dan wahyu, lalu memisahkan urusan dunia daripada agama dengan mencipta teori sekularisme dalam urusan hidup, termasuk undang-undang negara.

Kemunculan berbagai-bagai ideologi dan teori dalam kehidupan masyarakat madani berasaskan kebendaan semata-mata melibatkan ramai kalangan ilmuwan dan pemikir Yahudi atau Zionis, khususnya dalam aspek politik dan ekonomi, menonjolkan nama seperti Adam Smith, Karl Marx, dan lain-lain. Di sini menunjukkan betapa pengaruh kebendaan berlegar dalam kehidupan dunia terkini, khususnya di negara Islam yang dijajah, termasuk Malaysia, walaupun kemerdekaan telah berlalu lebih setengah abad.

Mereka berjaya dalam perancangan menyingkirkan kumpulan Islam yang memulakan perjuangan kemerdekaan, sehingga mereka menentang habis-habisan kemaraan kumpulan Islam, walaupun secara demokrasi yang menjadi kebanggaan mereka.

Kemerdekaan Malaysia termasuk dalam perancangan penjajah melalui penyelesaian sekularisme yang dilaksanakan dalam masyarakat Islam yang dijajah. Hanya kumpulan yang menerimanya sahaja diberikan kebenaran untuk mengambil alih kuasa politik negara apabila diberikan kemerdekaan. Inilah yang dilakukan di Gaza, Palestin yang menafikan kemenangan kumpulan Islam Hamas dalam pilihan raya umum dengan kepungan yang zalim.

Kini, negara kita diperintah oleh kumpulan parah dalam kalangan minoriti Melayu Islam yang ‘dimajoritikan’ atas nama ‘kerajaan perpaduan’ dengan kumpulan yang nyata menolak Islam. Maka, kita menerima nasib kegagalan yang lebih parah dan gagal menyelesaikan masalah dalam segala aspek oleh kalangan Islam liberal dan pluralisme, sehingga terheret kepada hilangnya kedaulatan dan maruah negara.

Oleh itu, isu rasuah sekadar sampingan mengulangi kegagalan yang lalu. Langkah ini dilakukan bagi menghalang kebangkitan semula kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat Melayu yang beragama Islam.

Kegagalan konsep sekularisme terzahir apabila undang-undang dicipta sendiri oleh manusia dalam aspek yang tidak diizinkan oleh Allah kerana di luar kemampuan akal dan ilmu mereka, maka boleh dipermainkan oleh akal demi kepentingan masing-masing. Ada kalangan yang mengatasi undang-undang dan ada kalangan yang terpilih dikecualikan.

Inilah punca kegagalan mengatasi masalah yang berpenyakit dalam masyarakat walaupun mereka tetap bersifat madani, tetapi madaninya diheret keluar daripada tabii manusia ciptaan Allah, iaitu diciptakan dengan fitrah (naluri) jasad, akal, nafsu, dan bermasyarakat madani bersama petunjuk Islam yang sempurna aqidah, syariah, dan akhlak bagi memenuhi keperluan fitrah manusia dengan ilmu yang bermanfaat.

Kita bawakan satu contoh kecil dalam aspek penentangan rasuah mengikut agama Islam yang sempurna secara nyata dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١٨٨

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim (pihak yang berkuasa), supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 188]

Ayat ini menjadi salah satu dalil bahawa semua urusan manusia tidak terkeluar daripada agama Islam. Hukum pengharaman rasuah adalah hukum daripada Allah, bukan ciptaan manusia. Malah, ditafsirkan lagi oleh banyak hadis, antaranya sabda Rasulullah SAW:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌الرَّاشِيَ ‌وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ: يَعْنِي: الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا.

“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah, dan perantara (orang tengah yang menguruskan kedua-duanya).” [Hadis riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, no. 22399, daripada Thauban bin Bujdud]

Nabi SAW bersabda lagi:

الرَّاشِي ‌وَالْمُرْتَشِي فِي النَّارِ.

“Pemberi rasuah dan penerima rasuah; kedua-duanya ke dalam Neraka.” [Hadis riwayat al-Tabrani, al-Mu‘jam al-Awsat, Bab al-Alif, no. 2026, daripada ‘Abdullah bin ‘Amr]

Larangan rasuah termasuk sebahagian daripada perkara haram dalam agama Islam serta kesalahan yang wajib dihukum di dunia dan di akhirat, bukan sekadar kesalahan di alam dunia. Oleh itu, Islam menegaskan tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang Allah dan dikecualikan. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36]

Islam yang berdaulat menjadikan semuanya berada bawah undang-undang tanpa terpilih, termasuk ketua negara yang paling tinggi, berpandukan firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, serta ulu al-amr antara kamu! Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58–59]

Ketaatan secara mutlak tanpa berbelah bahagi adalah kepada Allah dan Rasul, sementara ketaatan secara bersyarat adalah kepada ulu al-amr (pemimpin negara).

Semua khalifah (ketua negara atau raja) menegaskan dalam ucapan baiah kepada rakyat bahawa mereka boleh melalui proses muhasabah dalam urusan pemerintahan negara, sehingga boleh diheret ke mahkamah untuk dibicarakan di alam dunia.

Di sana ada lagi Mahkamah Allah pada Hari Akhirat yang ditetapkan keputusannya dengan firman-Nya:

فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرٗا يَرَهُۥ ٧ وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٖ شَرّٗا يَرَهُۥ ٨

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihatnya (balasannya). (7) Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula. (8)” [Surah al-Zalzalah: 7–8]

Betapa perjalanan Mahkamah-Nya Yang Maha Adil dinyatakan oleh Allah SWT:

ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٦٥

“Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka; lalu berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa-apa yang dahulu mereka usahakan.” [Surah Yasin: 65]

Undang-undang syariat yang berprinsipkan aqidah dapat mengawal diri manusia dengan cara yang paling berkesan bagi membentuk jati diri atau integriti dengan akhlak yang mulia.

Betapa kesannya dapat dibuktikan melalui empat negeri yang diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS), walaupun dengan kuasa yang terbatas dalam konsep federalisme yang terkongkong. Inilah kesan daripada ilmu dan tarbiah, dalam keadaan kepimpinan parti turut memberikan peluang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikuasai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan yang sentiasa meneropong mencari kesalahan, hatta keterlanjuran yang sekecil-kecilnya.

Oleh yang demikian, Islam wajib dimenangkan bagi menyelamatkan keadaan yang merosakkan dunia kini, ketika ideologi kebendaan sedang runtuh dalam perlawanan masing-masing, sehingga blok komunis dan sosialis bertukar menjadi kapitalis yang liberal, manakala blok kapitalis liberal sedang merudum kerana pertembungan sesama sendiri dalam perlawanannya.

Kegagalan slogan reformasi dalam isu rasuah juga menerima pukulan keras dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17 yang lalu apabila parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah kerajaan persekutuan mengalami kekalahan yang teruk, khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mendominasi ditolak oleh masyarakat Cina yang mendukungnya, bersama parti Melayu sebagai penumpangnya yang kecil ikut ditimpa tempias, dalam keadaan demokrasi Malaysia yang sentiasa berpihak kepada parti-parti Kerajaan Persekutuan.

Keadaan yang dianggap tsunami baharu di Sabah itu dibimbangkan melarat memukul Semenanjung, menyebabkan sudah ada parti yang menunjukkan pergerakan melakukan muhasabah kerjasama masing-masing.

PAS telah melakukan muhasabah lebih awal dengan membuat pendekatan baharu yang lebih anjal, daripada kerjasama tahaluf siyasi yang bersyarat kepada ta‘awun siyasi yang lebih longgar berpandukan firman Allah SWT:

… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]

Semua ini bertemakan perpaduan umat Islam dan umat manusia berkonsepkan Islam sebagai penyelesaian dan adil kepada semua.

Dalam masyarakat majmuk, PAS membuktikan kejayaan kerajaan bersih tanpa rasuah yang gagal dicapai oleh tema reformasi. Adapun Islam adil kepada semua sekadar kemampuan kerajaan negeri yang terhad sambil menunggu untuk memimpin kerajaan yang lebih kuat bersama masyarakat majmuk.

Kalau kalangan masyarakat bukan Islam telah gagal bersama ideologi asing kanan dan kiri, mengapa mereka tidak boleh memilih Islam untuk memerintah?

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 20 Jumada al-Akhirah 1447 / 11 Disember 2025

[Bil: 85 / 2025]