KUALA TERENGGANU — Ameerah Terengganu menyifatkan keputusan AirAsia menawarkan pakaian seragam menutup aurat kepada pramugari Muslim sebagai satu detik bersejarah dalam landskap korporat negara.
Pengarahnya, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, tindakan itu sekali gus memperlihatkan kesungguhan syarikat tersebut menghormati hak beragama serta maruah pekerja wanita Islam.
Katanya, dasar baharu itu menunjukkan komitmen syarikat menyediakan suasana kerja yang lebih inklusif dan selamat selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“mencerminkan AirAsia mengiktiraf hak pekerja untuk mengamalkan pegangan, pematuhan kepada kewajipan beragama dihormati tanpa pertikaian.
“bukan sekadar perubahan pada seragam tetapi langkah memperkukuh dan memperkasa kebajikan, memberi ruang kepada Muslimah bertugas dengan lebih profesional tanpa menjejaskan prestasi atau standard perkhidmatan,” jelasnya dalam kenyataan media.
Justeru itu, beliau menyeru syarikat-syarikat penerbangan lain serta sektor korporat di seluruh negara untuk menilai dasar pakaian masing-masing agar lebih beretika, mesra syariah dan sensitif terhadap kepelbagaian agama.
“Ameerah Terengganu komited untuk terus memperjuangkan hak wanita Muslim, memperkukuh literasi hak pekerja dalam kalangan anak muda,
“serta memastikan peluang pekerjaan sentiasa selaras dengan nilai Islam, kehormatan wanita dan pembangunan negara,” tegas beliau




























