Ke Arah Politik Islam

148

Sekumpulan pekerja dikehendaki menghadiri satu seminar di luar kawasan mereka. Mereka kemudiannya pergi dalam dua kumpulan kecil menggunakan khidmat keretapi. Satu kumpulan yang disebut sebagai kumpulan A telah membeli tiket bagi setiap seorang ahli kumpulan mereka dan mendapat potongan harga. Manakala kumpulan yang satu lagi, B, hanya membeli satu keping tiket sahaja untuk semua.

Apabila menaiki keretapi, dalam perjalanan, pemeriksa tiket datang meminta tiket dan kumpulan A itu menghulurkan tiket mereka seorang demi seorang kepada pemeriksa tiket. Sambil mereka menunggu dan melihat apa yang akan terjadi kepada kumpulan B itu. Kumpulan B itu tiba-tiba tanpa dilihat pemeriksa tiket, segera masuk ke tandas beramai-ramai duduk di dalam berasak-asak.

Apabila pemeriksa tiket datang dan mengetuk pintu tandas meminta tiket, mereka menghulurkannya melalui bawah pintu, dan pemeriksa tiket itu pun mengambilnya dan berlalu. Terkejut kumpulan A itu melihat cara yang lebih menguntungkan yang dibuat oleh kumpulan B itu. Tidak disangka-sangka idea itu cukup bernas untuk mengurangkan lagi harga tiket.

Balik daripada seminar, kumpulan A ini membeli hanya sekeping tiket bagi kesemua ahlinya. Tetapi memeranjatkan mereka, apabila kumpulan B itu tidak langsung membeli sebarang tiket. Mereka berfikir, apa pula akal kumpulan B kali ini. Sementara berfikir, mereka melihat pemeriksa tiket sudah datang untuk memeriksa tiket. Dan mereka segera memasuki tandas beramai-ramai.

Lalu kemudiannya, salah seorang ahli kumpulan B itu dengan bergayanya, berjalan ke arah tandas, sambil mengetuk pintu tandas dan berkata, ‘tiket, tiket. Lalu melalui bawah pintu, tiket kumpulan A yang sekeping itu diserahkan kepada ahli kumpulan B itu. Dia segera mengutipnya dan mereka bergerak mencari tandas lain.

Mana satukah diantara mereka yang berbakat menjadi ahli politik? Rasanya anda boleh mengagaknya. Begitulah keadaan politik pada zaman sekarang. Begitu ramai daripada mereka yang terlibat dalam politik, akan cuba mencari jalan mengambil keuntungan dalam posisi mereka. Mereka juga akan cuba menjatuhkan orang lain yang dilihat sebagai lebih berkemampuan daripada mereka, kerana mahu mempertahankan kedudukan mereka.

Ini semua bisa terjadi kerana ketamakkan nafsu mereka sendiri atau juga daripada nasihat yang salah orang di sekeliling mereka. Ingatlah ketika Firaun mahu mengikut Nabi Musa, menterinya Haman, segera menghasut Firaun. Sewaktu Abi Talib diajar Rasulullah saw mengucap syahadah disaat hampir kematiannya, Abu Lahab duduk di sebelahnya menasihati, menghalang beliau meninggalkan agama nenek moyang mereka.

Bakat yang ada pada ahli politik, tidak semestinya kerana mereka terlalu cerdik. Berapa ramai cerdik pandai, tidak dapat bertahan dalam arena politik. Tidak kuat menghadapi kerenah manusia yang bermacam ragam. Ada cerdik pandai hanya mahukan komunikasi sehala. Apa yang mereka cakap, rakyat mesti dengar dan ikut. Disiplin ini, tiada dalam politik. Mereka mesti menundukkan diri, menjaga hati rakyat. Juga tidak boleh juga mereka yang lurus bendul, sekadar baik hati, sebab nanti akan dikalahkan lawan.

Putar belit dalam politik ini adalah datang dari politik yang bukan berasaskan agama. Menghalalkan semua cara bagi mencapai maksud dan tujuan mereka. Menggunakan kedudukan mereka bagi mengkayakan kroni-kroni mereka. Elemen-elemen simpati, sedih, mengambil berat hal rakyat, dilakonkan apabila perlu. Media memainkan peranan yang begitu berkesan, bagi menimbulkan babak airmata.

Kita boleh bezakan dengan politik Islam yang diasaskan oleh Rasulullah saw yang mengajar manusia supaya bersikap ihsan terhadap rakyat. Melindungi, cakna, mendidik rakyat supaya menjadi hamba Allah yang taat kerana tujuan penciptaan jin dan manusia ialah untuk beribadat kepada Allah. Pemimpin negara Islam wajib menyediakan keperluan dunia dan akhirat kepada rakyat.

Mereka mengambil apa yang halal sahaja. Di sini, tidak salah menjadi senang dengan cara halal, asalkan tanggungjawab mereka diselesaikan. Dan ahli politik Islam juga mesti kuat dari banyak sudut. Rasulullah telah menasihati Abu Dzar supaya tidak memegang jawatan kerana Abu Dzar lemah dalam pengurusan, walaupun dia seorang yang kuat imannya. Dalam politik, mesti memilih yang kuat terutama dari segi pengurusan organisasi dan mental.

PAS sentiasa berusaha menjadi pemimpin yang terbaik di Malaysia. Tidak dinafikan masih banyak kekurangan kerana PAS bukan maksum. Tetapi PAS jauh meninggalkan kumpulan politik yang lain dari segi intergriti pemerintahan. Tiada kes yang besar salah guna kuasa oleh PAS, menunjukkan kebenaran dakwaan ini.

Jelas ini bukti yang paling ampuh. Puluhan tahun tidak pernah didapati bersalah oleh kerajaan-kerajaan yang menjadi musuh politik PAS, walau mereka amat mencarinya. PAS membuka pintu siasatan 25 jam sehari. Serangan bertali arus dihalakan musuh kepada PAS. Mereka sedar jika PAS berjaya meyakinkan rakyat bahawa politik Islam adalah baik dan dipraktikkan, harapan mereka akan hancur. Mereka hanya berjaya dedahkan kononnya ‘kejahatan PAS’ di media sosial tetapi gagal membawa bukti kepada pihak berkuasa.

Ada rakyat percaya, politik ini jahat dan mahu menjauhinya. Sedangkan mentaliti ini adalah salah bagi umat Islam, kerana politik amat penting bagi agama, bangsa dan negara. Presiden PAS sentiasa mendedahkan yang adanya gerakan yang dirancang oleh orang Melayu dan Islam yang gilakan kuasa sanggup bersama kumpulan chauvinis dan kuasa luar untuk menguasai negara, menjauhkan rakyat dari politik Islam. Sedangkan bangsa lain mengumpul tenaga dalam politik untuk memerintah kita.

Mari bersama Presiden PAS, kita halang rancangan mereka ini dengan berpolitik cara Islam bersama PAS. Sebarkan kesedaran politik Islam kepada rakyat. Ia melindungi manusia dunia akhirat.

Mohd Nasir Abdullah
1 Julai 2021