Jawapan Menteri ‘tak tentu hala’ kerana kempen pemilihan

1036

KUALA TERENGGANU – Sepatutnya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak membuat kenyataan terbuka dan mengisytiharkan negeri Terengganu bebas dari jenayah berat kerana hakikatnya banyak kes-kes yang melibatkan pengedaran dadah, rogol dan pembunuhan yang masih belum selesai.

Ahli Parlimen Dungun Ustaz Wan Hassan Mohd Ramly berkata, jenayah pecah rumah, rompak dan samun juga masih berleluasa dan banyak kes-kes yang tidak diadukan kepada pihak polis kerana rakyat tidak yakin ia dapat diselesaikan.

“jawapan (kenyataan) Menteri (Umno) banyak yang tak tentu hala kerana hampir kepada pemilihan agung Umno, masing-masing mahu menunjukkan populariti dan kononnya mereka berjaya,

“tak sepatutnya (Datuk Seri Ahmad) Zahid buat kenyataan terbuka begitu kerana ada kesan ‘psikologi’ kepada polis dan penjenayah, polis akan rasa relaks dan penjenayah ‘kecil-kecilan’ terus rasa selesa,”ujarnya.

Ustaz Wan Hassan berkata demikian ketika dihubungi di Parlimen hari ini dan menambah, kes bunuh pengusaha nasi kukus di Paka dan kes rompakan yang berlaku di stesyen minyak Petronas Rantau Abang dalam kawasan parlimennya sudah ‘senyap’ tanpa berita.

Zahid juga, kata beliau, perlu meniliti rekod jenayah Terengganu, walaupun tidak ada kongsi gelap tetapi kes melibatkan salah laku seks begitu banyak sehingga melibatkan perbuatan luar tabi’ie yang dilakukan ke atas kanak-kanak.

Kataya, pihak media juga pernah melaporkan, Terengganu merupakan negeri paling banyak kes pengedaran dadah dan beliau difahamkan, Terengganu menjadi negeri ‘transit’ kepada pengedaran pil kuda.

Oleh itu, beliau menyarankan, samada dekat dengan pemilihan Umno atau sebaliknya, pencegahan jenayah perlu dititik beratkan dan diambil perhatian serius kerana gambaran masyarakat luar terhadap Malaysia masih belum pulih.

“kita harap, pada waktu mana pun, dekat pilihan (pemilihan) Umno ke, dekat pilihanraya ke, semua mesti sedar bahawa jenayah memang semakin berat dan semakin ‘kronik’, perlu sentiasa siap siaga sepanjang masa,”katanya