Janji Velodrom PRU13, Masih Gagal Dibina

2107

DUNGUN – Mini Velodrom Rakyat yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ke-13 lalu, masih belum menampakkan sebarang pembinaan, walaupun sesi Dewan akan tamat tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, YB. Cikgu Alias Harun berkata, majlis pecah tanah telah diadakan pada Disember 2010, dengan Menteri Belia Dan Sukan ketika itu Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, merasmikannya.

“dan disaksikan oleh ADUN Rantau Abang ketika itu, Datuk Haji Za’abar bin Dato’ Mohd Adib, dicadangkan oleh kerajaan negeri ketika itu……..peruntukan pembinaan velodrom ini bernilai RM35 juta,” terang beliau.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kawasan tapak cadangan membina velodrom tersebut di Kampung Balai Besar, di sini pada Ahad,14 Januari.

Ketua Penerangan PAS Dungun itu berkata, sebanyak RM1.5 juta daripada peruntukan tersebut telah dibelanjakan untuk menambak kawasan yang seluas lapan hektar itu.

“Duit telah keluar RM1.5 juta tetapi tidak ada apa-apa pembangunan, ini satu pemborosan, (kerana) setiap belanja yang digunakan oleh kerajaan negeri,

“mestilh memberi manfaat kepada projek (tersebut)n dan juga kepada rakyat keseluruhanya,” tegas beliau.

Beliau kesal, walaupun sama parti yang memerintah di negeri dan pusat, telah berlaku ‘perbalahan’ berhubung pembinaan itu pada April 2011.

Menurutnya, kerajaan negeri Terengganu, seolah-olah telah dipermainkan oleh kerajaan pusat, yang menyebabkan ia terus tergendala sehingga kini.

“berlaku pertelingkahan antara Kementerian Belia Dan Sukan dengan kerajaan negeri, di mana kerajaan pusat menjangkakan kos pembinaan bernilai RM3.5 juta sahaja,

“pihak kementerian mencadangkan ianya dibina sebagai mini velodrom sahaja yang bertujuan melatih dan memberi latihan kepada bakat-bakat baru sukan ini,

“Dalam sidang DUN lepas, Exco Belia dan Sukan berjanji untuk membina velodrom ini dengan memohon peruntukan sebanyak RM10 juta daripada pusat,” jelas beliau.

Namun begitu, menurut Cikgu Alias, rakyat tertunggu-tunggu velodrome itu, khususnya anak-anak muda yang meminati sukan lumba basikal.