Janganlah Jadi Musta’jilun………

1655

Oleh : Ahmad Amzad Hashim

Dalam chit chat di Kg Batu Kelikir semalam saya ingatkan kepada semua, jika kita ditakdirkan jadi pemimpin kepada negeri atau negara, kita bukan lagi jadi pemimpin kepada ahli dan penyokong parti kita sahaja.

Jadilah pemimpin kepada rakyat.

Islam datang sebagai rahmat kepada alam. Alam itu manusia dan segala makhluk bernyawa dikeliling kita dari haiwan dan tumbuhan dan juga alam ini, hutan, tanah, sungai, gunung.

Rakyat bukan orang PAS sahaja. Orang parti lain pun rakyat kita. Orang bangsa lain pun rakyat kita. Orang agama lain pun rakyat kita. Mereka ada hak terhadap kepimpinan kita.

Orang yang terlibat dengan kebudayaan, ahli sukan…semua rakyat kita.

Setiap perubahan yang baik yang kita mahu buat mesti dirancang dan dilaksanakan dengan sempurna agar beri keselesaan dan kebaikan hidup jasmani dan rohani kepada rakyat.

Biar rakyat merasa hidup mereka lebih sejahtera dengan adanya kepimpinan kita.

Jangan cacamarba. Jangan huru hara. Rakyat perlu merasa aman agar pembangunan dapat tercipta dari akal, jasmani dan rohani yang sempurna.

Janganlah jadi musta’jilun. Gopoh untuk melaksanakan sekaligus semua sekali tanpa dibimbing kepimpinan yang berhemah. Kelak jadi fitnah besar kepada jamaah.

Jangan jadi pendendam. Mentang mentang beroleh kuasa, mahu membalas kezaliman yg pernah diterima dengan berbuat zalim juga. Zalim bukan dari tarbiyah kita. Tarbiyah kita mengajarkan rahmah untuk semua.

Jangan jadi pengotor dan selekeh. Tapi biasakan diri dengan sifat pembersih dan kemas.

Jagalah masa dan disiplin. Kita tak mahu budaya curi tulang waktu kerja diteruskan dibawah kepimpinan yg bersandarkan agama. Kerana gaji yg diterima adalah balasan atas khidmat kita sebagai kakitangan dan pekerja yg haram dan tidak amanah jika kita menyeleweng dari kontrak kerja kita.

Jadilah terbaik dalam segala galanya.

Anak anak yang cemerlang pelajarannya, biarlah anak anak kita.

Pemuda pemuda yang baik budipekerti, berakhlak mulia, ringan tulang membantu, biarlah pemuda pemuda kita.

Pekerja pekerja yang paling cemerlang, produktif, cekap, biarlah dari kalangan kita. Jangan berlaku kenaikan pangkat langkau gred atas amalan pilih kasih. Itu penyakit umno.

Usahawan usahawan yang berjaya, berkembang perniagaannya, biar dengan bantuan kita, gagasan pembangunan kita, orang kita. Hasil usaha gigih mereka. Tanpa perlukan budaya rasuah, kronisma, nepotisma.

Tokoh tokoh intelek, pemikir, cendekiawan, biar yg menjulang aspirasi perjuangan agama, bangsa, negeri dan negara. Jangan yang tidak sensitif kepada kedaulatan negara, kedudukan bahasa, kesucian agama. Fikirkan wang ringgit semata mata.