Jangan Biarkan LPT2 Berterusan Menjadi Lebuh Raya Maut!

1544

Pada 19 Oktober 2015 yang lalu, GANTI telah keluarkan satu kenyataan media berkait isu Lebuhraya Pantai Timur 2. Kami telah senaraikan sejumlah 9 kelemahan teknikal di sepanjang LPT2 daripada Gemuruh hingga Kijal. Paling ketara ialah permukaan jalan yang beralun sekurang-kurangnya 28 lokasi.
Kami kemukakan 4 cadangan iaitu selesaikan segera kelemahan yang ada, pastikan tiada campurtangan politik dalam usaha baikpulih isu kelemahan teknikal tersebut, kempen keselamatan lebuhraya dan solat hajat. AIMG_20151116_043546lhamdulillah, kami dapati telah ada usaha-usaha melaksanakan cadangan-cadangan tersebut. Walaubagaimanapun, tinjauan kami di LPT2 buat kali kedua pada 2 November lalu, antara Exit Ajil hingga ke Exit Jabor mendapati daripada sejumlah 27 lokasi jalan beralun, 4 daripadanya masih beralun teruk(bahaya untuk kenderaan ringan) , manakala selebihnya (23 lokasi) beralun sederhana (bahaya untuk motorsikal). Ada lokasi yang baru dibaiki tetapi tetap berlubang. Ini sangat merbahaya kepada penunggang motorsikal terutamanya pada waktu malam.

Apa yang menjadi persoalan berdasarkan kepada kajian kami sepanjang lebuhraya tersebut, lokasi beralun adalah lebih banyak didapati di sepanjang permukaan jalan 10 pakej pembinaan di bawah MTD (KM 99.7 hingga KM 163) sepanjang 62.75KM berbanding pakej di bawah JKR. Adakah ia disebabkan oleh faktor pemantauan projek yang lemah? Kerajaan harus jawab dengan jujur berkenaan isu ini. Walaupun kajian menunjukkan punca terbanyak kemalangan di LPT2 adalah disebabkan oleh kelajuan dan terbabas, kita tidak boleh mengkesampingkan faktor jalan beralun itulah yang melengkapkan punca terbabas akibat kelajuan itu. Kenyataan Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) baru-baru ini telah mengiyakan faktor jalan beralun tersebut.

Kami ucapkan syabas kepada kerajaan negeri atas usaha solat hajatnya dan pihak berwajib seperti JPJ yang mengadakan operasi di LPT2 dengan begitu giat sehinggakan beratus saman dikeluarkan. Tetapi dalam masa yang sama, kemalangan masih lagi berlaku dengan kerapnya seminggu dua ini. Diharapkan kerajaan tidak melihat isu ini sambil lewa. Bak kata pepatah, bagaikan melepas batok di tangga.

AMAR MA’ARUF NAHI MUNKAR

Yang menjalankan tugas,

WAN MOHD FAIZUL WAN ABAS
Presiden
Gerakan Anak Terengganu Insaf
15 November 2015