`Ivermectin` Sebagai Ubat Covid-19?

634

Awal Februari lalu sekumpulan individu yang menggesa kerajaan supaya meluluskan segera penggunaan Ivermectin (sejenis ubat merawat kutu dan cacing) dalam merawat COVID-19. Penyataan mereka itu turut disokong oleh Persatuan bukan perubatan.

Dakwaan mereka bahawa Ivermectin itu berkesan dalam merawat COVID-19. Katanya sudah terdapat kajian kukuh Ivermectin mampu merawat COVID-19. Rakyat tidak perlu lagi disuntik vaksin COVID-19 kerana ubat sudah ada. Itulah motif sebenar kenyataan itu dibuat.

Sebelum meluluskan sesuatu ubat Kementerian Kesihatan mesti dan wajib meneliti setiap laporan yang telah dikeluarkan oleh pendakwa yang mendakwa ubat berkenaan berkesan, selamat dan stabil. Kerajaan tidak mudah terpengaruh dengan gesaan sedemikian kerana kerajaan mesti melihat kepada bukti-bukti saintifik dahulu sebelum sesuatu ubat itu digunakan dalam merawat COVID-19.

Bukannya sesuatu yang begitu mudah untuk disyorkan tanpa mengemukakan data-data dan laporan yang lebih berautoriti serta mempunyai kesahihan yang jitu.

Dalam masa yang sama kumpulan ini jugalah yang banyak menimbulkan keraguan berkaitan dengan program imunisasi COVID-19 yang sedang dirancang oleh kerajaan.

Sebelum ini saya pernah mengulas berkaitan dengan satu kajian yang menyatakan terdapat juga bukti kajian pilot yang melihat kepada keberkesanan menggunakan IVM dalam merawat COVID-19. Kajian itu telah dijalankan oleh University of Navarra Clinic dan the Barcelona Institute for Global Health (ISGlobal) sepertimana yang disiarkan dalam jurnal Lancet Jan 2021. Namun pengkaji sendiri menyarankan supaya kajian di dalam skala yang lebih besar. Kajian lanjut perlu dilakukan kerana sampel kajian yang dilakukan oleh mereka itu adalah terlalu kecil. Sampel kajian pilot yang dilakukan adalah seramai 24 orang sahaja. Lagipun kajian itu tidak dibuat ke atas pesakit yang bertahap serius dan berisiko.

Awal Mac, sebulan selepas gesaan yang dibuat oleh sekumpulan individu tersebut JAMA telah mengeluarkan satu laporan lengkap berkaitan dengan kajian sekumpulan pakar (control trial study) yang telah dijalankan di Cali, Columbia.

Saya letakkan kesimpulan kajian dari beberapa pakar Columbia tersebut:

“Among adults with mild COVID-19, a 5-day course of ivermectin, compared with placebo, did not significantly improve the time to resolution of symptoms. The findings do not support the use of ivermectin for treatment of mild COVID-19, although larger trials may be needed to understand the effects of ivermectin on other clinically relevant outcomes.”

Ringkasnya kajian tersebut tidak menemui hubungkait yang munasabah penggunaan Ivermectin dalam merawat COVID-19. Ubat cacing dan kutu itu sama tara dengan placebo. Malah hasil kajian tidak signifikan pun dan pengkaji juga tidak mengesyorkan penggunaan Ivermectin di dalam merawat COVID-19.

Dalam negara kita KKM juga bersetuju menjalankan kajian Klinikal untuk Ivermectin ini. Kajian ini dibuat oleh Pakar-pakar penyakit berjangkit dengan kerjasama Institute for Clinical Research (ICR). Kita tunggulah hasil yang diperolehi daripada kajian dalam negara kita pula. Harap bersabar.

Sebelum dapat ubat yang definitif cucuklah vaksin dahulu! Jangan jadi Trypanophobia.
Suhazeli Abdullah

12.11.2021
Kuala Berang

Rujukan:
[1] Chaccour C, Casellas A, Blanco-Di Matteo A, et al. The effect of early treatment with ivermectin on viral load, symptoms and humoral response in patients with mild COVID-19: a pilot, double-blind, placebo-controlled, randomized clinical trial. EClinicalMedicine. 2021.
[2] Eduardo López-Medina, Pío López, Isabel C. Hurtado, et al. Effect of Ivermectin on Time to Resolution of Symptoms Among Adults With Mild COVID-19A Randomized Clinical Tria. JAMA. March 4, 2021