Beliau yang mewakili sayap baru dalam PAS itu memberitahu, mereka (ahli DHPP) selalu dimomokkan dengan paksaan pertukaran agama, ketiadaan tempat ibadat sekiranya terus menyokong PAS.
Beliau berkata sanggkaan buruk terhadap PAS itu telah terhakis perlahan-lahan sejak pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008.
“Sebelum 2008 apa yang terjadi, apa pandangan tentang PAS daripada masyarakat lain, terutamanya India dan Tiong hua.
“Kamu nak masuk masuk PAS ke?… Kalau kamu sokong, kamu kena peluk agama Islam, macam-macam lagi…kena potong (bersunat) itu,” katanya disambut gelak ketawa perwakilan. (Lihat Video Klip)
“Kalau kamu sokong PAS, tiada tempat ibadat untuk Hindu dan Tiong hua. Apa jadi sekarang? Yang Berhormat kita, sampailah tok guru, sampai pemimpin sekarang tak ada masalah boleh masuk kuil, duduk satu meja bincang. Kenapa? (Kerana) kita sudah ditarbiyahkan,” katanya yang sekali lagi mencuit para hadirin.
Oleh itu, menurutnya, DHPP edia membantu PAS dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, DHPP meminta PAS menyenaraikan dewan itu sebagai jentera yang turut sama membantu kemenangan PAS.
“DHPP bersedia menjadi tentera perjuangan Islam, kerana kami faham Islam untuk semua, panggillah kami (DHPP) turun sama bantu… kami faham kerana kami sudah ditarbiahkan,” tegas beliau.
Sementara itu, perwakilan dari Wilayah Persekutuan, Dr Azhar Yaakob kesal apabila masyarakat bukan Islam di negara ini lebih terbuka untuk menerima hukum hudud berbanding cerdik pandai orang Melayu Islam yang bersikap dingin terhadap undang-undang Islam itu. (Lihat Video Klip)
Menurutnya, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) sebelum ini menerusi kaji selidik yang dilakukan mendapati masyarakat Cina di negara ini sudah boleh menerima hukum hudud.
Kajian yang dilakukan antara 1 September hingga 16 September lalu menunjukkan peningkatan sekali ganda sokongan masyarakat Cina iaitu kepada 24 peratus berbanding 12 peratus dalam kaji selidik sebelum ini pada 25 Oktober hingga 15 Disember tahun lalu.
Daripada sejumlah 385 responden berbangsa Cina, hanya satu peratus peningkatan menentang pelaksanaan hukum hudud, berbanding kaji selidik sebelumnya, iaitu sejumlah 51 peratus. (Lihat Video Klip)
Sementara kumpulan yang tidak pasti sama ada hudud boleh dilaksanakan di Malaysia walaupun mempunyai masyarakat berbilang kaum menurun kepada 25 peratus berbanding 38 peratus dalam kaji selidik sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau membidas sikap segelintir ilmuan Islam yang sepatutnya berjuang untuk menegakkan syiar Islam sebaliknya menyambut hambar dasar perundangan Islam.
“Kita agak sedih apabila isu hudud ini dibahas dengan nada yang sangat negatif oleh mereka yang bergelar ilmuan Islam.
“Ada di antara ilmuan Islam yang menyandang jawatan di universiti yang mempengaruhi pelajar-pelajar mereka, ada yang mengatakan bahawa pelaksanaan syariat Islam, hukum hudud… yang dilaksanakan oleh Pas ini adalah sesuatu yang isti’jal (tergesa-gesa) rupanya,” ujarnya.
Beliau kemudian turut menegur sikap sesetengah pimpinan PAS yang sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dan mendahului presiden dalam isu hudud sambil merujuk kepada nasib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan bekas jurulatih Terengganu, Peter Butler.
“Kenapa nun di sana ada pimpinan-pimpinan lain yang bercakap bahawa hudud bukan agenda Pakatan Rakyat, contoh, pelaksanaan hudud ditangguh kerana rakyat tidak faham, contoh, keutamaan kita ke Putrajaya, bukan hudud.
“Apakah kita juga hendak mengambil tindakan seperti Persatuan Bola Sepak… lu pikir la sendiri,” katanya disambut riuh rendah para perwakilan.





























