DUNGUN – Kenaikan harga ikan yang mahal terutama di negeri Terengganu yang sebenarnya bukanlah ditentukan oleh para nelayan itu sendiri yang turun ke laut.
Harga ikan dan hasil tangkapan laut itu ditentukan oleh pihak kedua dan ketiga sebelum sampai kepada pembeli sebenar sebagai penggunanya.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Dungun, Encik Alauddin Ali, 46, menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyalahkan para nelayan kerana harga ikan mahal.
Katanya, harga ikan dan hasil tangkapan laut lain bukan ditentukan oleh para nelayan tetapi kuasa pihak kedua dan ketiga yang menjadikan ikan itu mahal.
Menurutnya, hampir kesemua para nelayan yang turun ke laut membawa hasil tangkapan dan dijual kepada orang tengah pihak kedua sebagai ‘taukeh’.


“Tidak betul dan saya menafikan sama sekali jika ada dakwaan kata kami (nelayan) yang tentukan harga ikan mahal atau murah, bukan kami tentukan.
“Orang tengah atau taukeh di pihak kedua yang tentukan harga ikan atau hasil tangkapan laut itu dan pihak ketiga pula yang berniaga di pasar-pasar atau penjaja.
“Kuasa (tentu harga) itu 100 peratus kepada orang tengah dan harga sebenar nelayan adalah harga yang taukeh itu ambil (bayar) daripada nelayan, tak mahal,” ujarnya kepada ketika ditemui di Kompleks Perikanan LKIM Dungun, Tanjung Kuala Dungun, pada Jumaat 23 Februari.
Beliau berkata, meskipun para nelayan terpaksa menanggung sendiri kos minyak dan air batu tetapi hasil tangkapan itu dijual kepada orang tengah terbabit.
Beliau mendakwa para nelayan juga tertekan dan tidak berpuas hati dengan harga yang rendah ditetapkan oleh ‘taukeh’ tetapi mereka tiada pilihan.