Hiking Lata Berangin Perkasa Pelancongan Hijau

112

Oleh: Ahmad Hilmi

BESUT – Usaha komuniti belia memperkasa pelancongan hijau terus disemarakkan apabila seramai 80 peserta pelbagai peringkat umur menyertai program Fit Is Sunnah @ Hiking Lata Berangin anjuran DACS Pemuda PAS Besut dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Besut.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Besut, Ustaz Mohd Mukhlis Hasin, berkata program itu bertujuan menggalakkan masyarakat menjadikan riadah sebagai budaya hidup sihat di samping mendidik tentang kelestarian alam sekitar.

“Matlamat kami jelas, riadah seisi keluarga sambil mendidik tentang kelestarian, dan pada masa yang sama memperkenalkan Besut sebagai destinasi hijau yang selamat serta mesra pengunjung,” jelasnya ketika ditemui selepas program, pada 20 Oktober lalu.

Sementara itu, Ketua DACS Besut Mohd Redhuan Md Ali, menegaskan etika kebersihan menjadi keutamaan sepanjang aktiviti.

“Kita amalkan prinsip ‘bawa masuk, bawa keluar’ untuk semua sisa. Laluan ini milik bersama. Kebersihan dan kelestariannya tanggungjawab kita semua,” tegasnya.

Justeru itu, beliau berharap sinergi antara komuniti belia, keluarga dan pelancong dapat terus diperkukuh agar Pesona Alam Besut kekal terpelihara serta menjadi contoh kepada pendekatan pelancongan hijau yang inklusif dan berdaya tahan.

Beliau menambah, program yang bermula di Kem Segenggam Beras, Hulu Besut itu bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi menjadi wadah memperkenalkan keindahan alam semula jadi dan warisan hutan kepada generasi muda, di samping menyokong ekosistem ekonomi setempat melalui pelancongan berimpak rendah.

“Inisiatif ini seiring dengan hasrat kerajaan negeri yang menumpukan kepada pembangunan pelancongan hijau dan mampan, menjadikan Besut sebagai salah satu pintu masuk utama pelancongan alam semula jadi di pantai timur,” tambah beliau.

Laluan mendaki yang merentasi beberapa hentian menarik seperti Batu Kerang, Batu Dinosaur, Lata Berangin, Sungai Hilang dan Gua Bahtera memperlihatkan keunikan geologi dan keaslian landskap semula jadi daerah ini.

Pemandangan air terjun dan formasi batuan menjadi tarikan utama kepada pengunjung yang mencari pengalaman santai namun mencabar.

Program ini turut menitikberatkan aspek keselamatan seperti persediaan bekalan air, pemakaian kasut sesuai dan amalan bergerak dalam kumpulan, terutama di kawasan licin berhampiran air terjun.