Sambut Tahun Baru Dengan Reda Allah

293

DUNGUN – Walaupun tahun 2025 akan melabuhkan tirainya dan kehadiran tahun baharu masihi akan disambut, raikanlah dengan mengadakan sambutan yang diredai Allah.

Oleh kerana itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, peringkat DUN Rantau Abang mengadakan program selawat, solat hajat dan bacaan Yasin.

“Dalam masa yang sama kita berharap sepanjang tahun 2026 , kita tidak mahu Allah biarkan kita begitu sahaja, Allah sentiasa bimbing dengan petunjuk, hidayah, rahmat dan keberkatan.

“Dengan program begini, kita hendak mengajak masyarakat di DUN Rantau Abang melakukan amal soleh supaya mampu menjadi insan yang beramal soleh kepada Allah, ” ujarnya.

Ustaz Fadhli yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Rantau Abang berkata demikian ketika berucap di Majlis Munajat Sambutan Tahun Baru yang diadakan di Masjid Seberang Pintasan di sini pada 27 Disember.

“Di DUN Rantau Abang kita memimpin dalam keadaan sentiasa ingat pahala dan dosa, adanya malaikat Munkar dan Nakir , adanya akhirat.

“Setiap tanggungjawab dan amanah yang diberikan pada kami akan dipersoalkan oleh Allah SWT , sebagai pemimpin Islam inilah yang ada dalam sanubari kami supaya kami dapat melaksanakan amanah yang diberikan Allah , insya Allah tuan tuan sekelian,” katanya.

Majlis itu dipimpin oleh Ustaz Yahya Haji Ali bermula dengan maghrib berjemaah, disusuli bacaan Yasin, selawat dan solat hajat, turut menyediakan hadiah cabutan bertuah.

Beliau turut berharap program seumpama itu dapat mengukuhkan kesatuan Islam dan memelihara hubungan baik sesama masyarakat.

“Hubungan kita semakin erat selepas ini, sikap saling membantu antara satu sama lain, prihatin dengan jiran-jiran dan juga ringan tulang di saat diperlukan.” tambah beliau.