Pyanhabib Meninggal Dunia

99

Penyair dan pelakon Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, atau lebih dikenali sebagai Pyanhabib meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang malam ini.

Berita pemergiannya dikongsikan oleh isterinya menerusi laman Facebook malam ini.

“Suami saya Pyanhabib yang anda kenal sudah tiada. Kembali kepada pencipta-Nya. Maafkan kesalahannya, doakan yang baik-baik untuknya,“ katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Prof Madya Dr Mohamad Saleeh Rahamad ketika dihubungi Bernama berkata beliau meerima panggilan daripada rakan-rakan terdekat mengenai pemergian Pyanhabib kira-kira pukul 9 malam tadi.

Menurutnya, Pyanhabib sepatutnya mendeklamasi puisi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 baru-baru ini, namun tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

“Beliau tidak sihat sejak balik daripada mengerjakan umrah pada tahun lepas. Badannya kurus, hilang selera makan dan pergerakan agak terbatas,“ kata Mohamad Saleeh.

Dilahirkan di Taiping, Perak pada 27 Mei 1958, Pyanhabib turut dikenali menerusi lakonannya dalam filem Kembara Seniman Jalanan, Tsu-Feh Sofiah, Tak kisahlah Beb dan Rock Oo!.