35 Tahun PAS Tadbir Kelantan: Terus Teguh Dengan Agenda Islam

297

Oleh : Muhammad Afiq

KOTA BHARU, 23 Oktober – Genap 35 tahun pentadbiran negeri Kelantan diterajui oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di bawah gagasan Membangun Bersama Islam (MBI), menandakan tiga setengah dekad kepimpinan yang bukan sahaja stabil, malah terus mempertahankan dasar Islam dalam pentadbiran negeri.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor, berkata kekuatan sebenar PAS di Kelantan ialah keupayaannya mengekalkan istiqamah dan daya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran politik sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, kisah kebangkitan semula PAS bermula selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 yang menyaksikan parti itu kembali berkuasa selepas kekalahan besar pada PRU 1978.

“Krisis dalaman kepimpinan dan perpecahan parti yang membawa kepada penubuhan BERJASA telah menjadi titik penting kebangkitan baharu,” jelasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, dekad 80-an menjadi tempoh paling mencabar apabila kepimpinan PAS Kelantan, dengan sokongan tokoh-tokoh ulama dan aktivis muda, menggerakkan kesedaran awam, memperkukuh ahli serta membina kader parti.

“Gelombang kebangkitan Islam di peringkat kampus dan dunia Islam turut menyemarakkan semangat anak muda Kelantan ketika itu,” katanya.

Menurut Dr Riduan lagi, nama-nama besar seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman dan Ustaz Mawardi Ahmad memainkan peranan penting sebagai tenaga penggerak dakwah dan tarbiyah yang melahirkan ramai kader pelapis.

“Dakwah ketika itu tersebar bukan dengan teknologi canggih, tetapi dengan kaset ceramah dan kuliah ilmu di surau serta dewan kecil. Dari situlah lahirnya gelombang perubahan rakyat,” ujarnya.

Katanya, kemenangan penuh PAS pada PRU 1990 hasil kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang disertai parti HAMIM dan BERJASA menjadi titik perubahan besar kepada landskap politik negeri.

“Itu detik kembalinya maruah Islam di Kelantan,” katanya.

Beliau menambah, sejak kemenangan itu, Kelantan terus menjadi model pemerintahan Islam yang seimbang antara pembangunan fizikal dan spiritual.

“PAS tidak sekadar menang pilihan raya, tetapi menang dalam membentuk jiwa rakyat,” katanya.

Dr Riduan turut menyebut bahawa reputasi Kelantan sebagai negeri berpendidikan agama dan berbudaya Islam kuat telah menjadi sebab utama negeri itu digelar ‘Serambi Makkah’.

“Sistem pondok yang kukuh dan pengaruh ulama menjadikan masyarakat Kelantan terus berpegang pada nilai agama,” katanya.

Beliau berkata lagi, meskipun negeri itu tidak lari daripada cabaran budaya luar dan pengaruh hiburan, PAS berjaya mempertahankan identiti dengan dasar yang jelas.

“Kelantan menolak hiburan yang merosakkan moral, tetapi meraikan seni dan budaya yang mendidik,” jelasnya.

Menurutnya, dasar Membangun Bersama Islam bukan sahaja diterjemahkan dalam pentadbiran kerajaan negeri, malah menjadi tunjang kehidupan rakyat.

“Inilah rahsia ketahanan PAS di Kelantan istiqamah dengan Islam tanpa kompromi,” tegas beliau.

Katanya, setelah 35 tahun memerintah, kejayaan PAS di Kelantan bukan sahaja diukur melalui tempoh masa, tetapi pada kekuatan prinsip dan penerimaan rakyat.

“Selagi rakyat bersama Islam, selagi itulah Kelantan akan terus berdiri teguh,” katanya mengakhiri kenyataan.