Hentikan Mempolitikkan Institusi Pendidikan

65

Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu ingin menzahirkan keprihatinan dan rasa terkilan terhadap tindakan-tindakan yang dilihat mempolitikkan institusi pendidikan di negara kita. Pendidikan seharusnya menjadi landasan utama untuk membentuk sahsiah dan pembangunan intelek generasi akan datang, bukannya medan untuk mencatur agenda politik tertentu. Kami menegaskan beberapa isu yang mencetuskan persoalan terhadap integriti dan keadilan sistem pendidikan yang ada:

1.⁠ ⁠Hentikan Gangguan terhadap PASTI
PASTI yang selama ini berfungsi sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak berteraskan nilai Islam, kini menjadi sasaran campur tangan dan serangan politik yang tidak wajar. Gangguan terhadap PASTI perlu dihentikan bagi memastikan pendidikan pra-sekolah terus berjalan lancar tanpa unsur politik.

2.⁠ ⁠YB Exco Kerajaan Negeri Dihalang Mewakili Menteri Besar Masuk ke UNISZA
Kejadian di mana YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu dihalang daripada hadir ke program mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) sebagai wakil Menteri Besar Terengganu membangkitkan persoalan tentang sikap ‘double-standard’ dalam layanan terhadap ahli politik. Adalah tidak wajar seorang pemimpin negeri yang ingin berkongsi ilmu dan pengalaman disekat daripada berinteraksi dengan mahasiswa. Tambahan pula kehadiran beliau adalah atas kapasiti mewakili YAB Menteri Besar Terengganu.

3.⁠ ⁠Cybertrooper PH-BN di Program Sekolah
Lebih membimbangkan, terdapat laporan bahawa individu seperti Wan Mahusin, yang dikenali sebagai cybertrooper PH-BN, dipanggil untuk menyampaikan program motivasi di sekolah di Terengganu, walaupun tidak mempunyai kelayakan yang sah dalam bidang tersebut. Ini menimbulkan persoalan tentang standard dan objektif penganjuran program motivasi di sekolah-sekolah kita.

4.⁠ ⁠Ahli Politik UMNO Bebas Masuk, Pemimpin Kerajaan Negeri Disekat
Dewan Muslimat melihat ketidakadilan apabila ahli politik UMNO Terengganu bebas memasuki program-program di sekolah, manakala pimpinan Kerajaan Negeri dan YB PAS dihalang, biarpun mereka adalah sebahagian daripada Kerajaan Negeri dan bertujuan menyelesaikan isu bencana. Perkara ini tidak menggambarkan sikap keterbukaan dan profesionalisme dalam sistem pendidikan.

5.⁠ ⁠YADIM digunakan untuk Membawa Isu Politik
Penyertaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu atas nama program dakwah tetapi membawa isu-isu politik adalah sesuatu yang membingungkan. Penyalahgunaan platform seperti ini menggugat kepercayaan masyarakat terhadap objektiviti institusi pendidikan.

Rentetan dari program-program yang berlangsung di Terengganu ini menunjukkan PH-BN memandang rendah keupayaan dan intelektual warga pendidikan. Kecenderungan pihak PH-BN dalam menekan mahasiswa melalui pelbagai cara juga perlu dihentikan. Semua warga pendidikan sepatutnya diberi peluang untuk berfikir secara kritis dan objektif tanpa manipulasi politik yang mencemarkan budaya ilmu.Mahasiswa perlu diberikan hak untuk mendengar dan berdialog dengan pelbagai pihak tanpa sekatan yang bersifat diskriminasi.

Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyeru agar pihak berkuasa pendidikan kembali kepada prinsip asal, iaitu membina generasi berilmu, berintegriti, dan bebas daripada tekanan politik. Keadilan dan keterbukaan mesti menjadi asas dalam segala tindakan yang melibatkan institusi pendidikan.

YBhg. To’ Puan Hajjah Maznah Muftahuddin
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu