2765 Mangsa Dipindahkan Di Lima Daerah

45

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Seramai 2765 mangsa yang terkesan bencana banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di Terengganu.

Ketua Khidmat Malaysia Terengganu, YB Haji Hanafiah Mat berkata, sehingga jam 8 pagi, sebanyak 14 PPS telah dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.

“Secara keseluruhan 603 keluarga terkesan dengan jumlah 2765 orang pecahan mangsa mengikut kategori 840 lelaki, 891 wanita, 490 kanak lelaki, 507 kanak-kanak perempuan, 47 oku dan 50 warga emas.

“Kemaman mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan lima PPS dibuka untuk menempatkan 554 keluarga melibatkan 2,584 mangsa, iaitu hampir 90% daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri ini,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Chukai berkata demikian pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, semalam.

Di daerah Hulu Terengganu, 6 PPS dibuka bagi menempatkan 25 keluarga melibatkan 94 orang mangsa, manakala di Setiu, satu PPS dibuka dengan 19 keluarga melibatkan 69 mangsa.

Bagi daerah Marang dan Dungun, masing-masing mencatatkan hanya satu PPS dengan 13 mangsa di Marang dan lima mangsa di Dungun.

Katanya, keadaan banjir ini memerlukan perhatian dan tindakan segera oleh semua pihak.

Justeru itu, beliau menasihatkan kepada semua penduduk di negeri Terengganu agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk.

“Semoga keadaan ini akan pulih dengan segera, insya Allah,” tambah beliau.

Tambah Hanafiah, ramalan jumlah purata hujan yang diramalkan bagi tahun ini ialah 3,650 mm, dengan 2,011 mm telah direkodkan sehingga 17 November.

“Jumlah hujan dijangka masih berbaki 1,639 mm, dengan purata 780 mm diramalkan turun pada bulan ini dan 850 mm lagi pada Disember,” katanya lagi.