Hamzah, Bintang Kecil Al-Quran Terengganu

209

KUALA TERENGGANU — Hamzah bin Mustafa Mohamad Al -Aboosi, murid PASTI Al-Hidayah Bukit Cempaka, menonjol sebagai simbol kecemerlangan hafazan dan sahsiah apabila berjaya mengharumkan nama Terengganu di peringkat kebangsaan, hasil usaha, bimbingan guru, dan sokongan keluarga.

Menurut gurunya, Cikgu Mastura Muhamad, perjalanan Hamzah bukan sekadar kisah kejayaan akademik, tetapi sebuah kisah inspirasi yang sarat dengan nilai kesungguhan, sokongan keluarga dan bimbingan guru.

Pada tahun 2024, Hamzah mula mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar PASTI Al-Hidayah Bukit Cempaka, selain mewakili Hafazan Lelaki dari peringkat DUN Batu Rakit, Kawasan Setiu sehingga berjaya meraih tempat keempat peringkat Negeri Terengganu.

Kecemerlangan itu tidak terhenti di situ. Tahun 2025 menyaksikan lonjakan lebih besar apabila Hamzah sekali lagi mewakili hafazan ke peringkat negeri sebelum mengharumkan nama Terengganu dengan kejayaan Naib Johan Hafazan Lelaki peringkat Kebangsaan Alam Ria PASTI 2025.

Di peringkat sekolah pula, Hamzah menerima Anugerah Mumtaz 6 Tahun dengan pencapaian cemerlang menguasai kesemua 5C, menghafal Surah al-Mulk ayat 1 hingga 30, menamatkan Buku Membaca 1–4 dan Buku Nurul Quran 1–4.

Beliau turut dipilih sebagai Tokoh Pelajar PASTI Al-Hidayah dan penerima Tokoh Anugerah Khas Sayyid al-Qurra’ Ubay bin Kaab.

Cikgu Mastura berkata, kejayaan Hamzah didorong oleh pendekatan hafazan secara berperingkat, pengulangan berterusan serta kerjasama erat antara sekolah dan ibu bapa.

“Di sekolah, Hamzah bermurajaah bersama cikgu, manakala di rumah pula ibu bapa sentiasa membimbing dan menyemak hafazannya,” katanya.

Selain itu, Hamzah turut menyertai Program Nadi al-Qiraah, melibatkan para asatizah dan pelajar dari dalam serta luar negara termasuk Timur Tengah dan Eropah, sebagai pendedahan awal bahasa Arab. Keupayaannya malah dijadikan contoh dalam modul pengajaran program tersebut.

Di sebalik kecemerlangan hafazan, Hamzah dikenali sebagai murid yang sopan, pendiam, berdisiplin dan mudah dibimbing.

Sikapnya yang menghormati guru, rajin membantu dan disenangi rakan-rakan menjadikannya contoh teladan di sekolah.

Namun, tahun ini turut menguji ketabahannya apabila ibunya menjalani pembedahan usus kecil, manakala ayah pula sibuk mengurus keluarga dan menjaga isteri di hospital. Dalam situasi mencabar itu, Hamzah tetap cekal, menjadikan ujian sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha.

“Alhamdulillah, ujian itu akhirnya dibalas dengan kejayaan Naib Johan peringkat Kebangsaan. Saya sangat bersyukur, bangga dan terharu. Ini bukan sahaja kejayaan Hamzah, tetapi juga ibu bapanya dan seluruh warga PASTI Al-Hidayah,” ujar Cikgu Mastura.

Justeru itu, beliau berharap Hamzah terus istiqamah dalam hafazan dan membesar menjadi hafiz yang berilmu, beramal serta berakhlak mulia.

“Seterusnya menjadi inspirasi kepada generasi muda dan membawa manfaat besar kepada agama serta ummah,” tambah beliau lagi.