Minggu Al-Quds Sedunia Wadah Penyatuan Mempertahankan Baitul-Maqdis

491
Ustaz Mohd Harun Esa

KUALA TERENGGANU, — Minggu Al-Quds Sedunia ini diharapkan dapat menjadi wadah penyatuan, meningkatkan kesedaran awam dan mengukuhkan komitmen masyarakat dalam mempertahankan isu Al-Quds sebagai agenda bersama umat Islam.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, sambutan seminggu bermula 16 hingga 31 Januari 2026 dengan penglibatan negeri-negeri di seluruh negara bagi menyemarakkan kesedaran, solidariti serta sokongan berterusan terhadap isu Baitul-Maqdis dan Palestin.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Program itu merasa syukur kerana Darul Iman dipilih sebagai tuan rumah bagi majlis pelancaran rasmi program tersebut yang akan diadakan pada Jumaat depan, di Dewan Tok Guru, Rusila.

“Pelancaran ini menandakan permulaan kepada rangkaian program Minggu Al-Quds Sedunia yang akan digerakkan secara menyeluruh di seluruh negara, manakala majlis penutup akan berlangsung di Negeri Kedah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, majlis menandakan permulaan di Terengganu akan dipenuhi dengan pelbagai pengisian sepanjang hari, merangkumi aspek ilmiah, kerohanian dan pendidikan serta penglibatan masyarakat pelbagai peringkat umur.

“Antara yang kami imrancang termasuk Kuliah Dhuha, Khutbah Khas Al-Quds, penglibatan PASTI dan prasekolah pada sebelah petang, Konvoi Mega Anak Muda selepas Asar,

“cabutan bertuah dengan hadiah menarik termasuk motosikal dan Kuliah Maghrib khas serta persembahan nasyid perjuangan dan pidato pimpinan, pada sebelah malamnya,” jelas beliau.

Justeru beliau turut menyeru orang ramai agar hadir beramai-ramai bagi memeriahkan majlis pelancaran tersebut dan mengambil peluang untuk berinfak, rmenyumbang dalam kutipan derma Al-Quds.

“Kita menjemput seluruh masyarakat untuk bersama-sama menunjukkan solidariti dan keprihatinan terhadap perjuangan rakyat Palestin melalui kehadiran dan sumbangan yang disalurkan,” katanya.