Didikan Rumah dan Sokongan PASTI Asas Kejayaan Tokoh Murid Negeri Terengganu

312

KUALA TERENGGANU — Kejayaan Hamzah Mustafa Mohamad Al-Boosi dinobatkan sebagai Tokoh Murid PASTI Negeri Terengganu disifatkan sebagai hasil gabungan didikan konsisten di rumah dan persekitaran pembelajaran kondusif di PASTI.

Menurut ibunya, Nabilah Mohd Ali, 36, kejayaan tersebut tidak pernah disangka, namun disambut dengan penuh rasa syukur sebagai rezeki dan anugerah daripada Allah SWT.

“Sejujurnya, kami langsung tidak menyangka Hamzah akan terpilih sebagai Tokoh Murid PASTI Negeri Terengganu. Namun kami percaya, semua ini adalah rezeki dan anugerah daripada Allah SWT

“Kami sangat bersyukur dan gembira. Kami percaya semua ini adalah kurniaan Allah SWT,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, antara faktor utama kecemerlangan Hamzah ialah pendekatan pengulangan hafazan secara berterusan di rumah tanpa tekanan, selain penekanan terhadap adab dan akhlak harian.

“Setakat ini, Hamzah telah menghafal beberapa surah termasuk al-Fajr, al-Balad dan al-A‘la, serta sedang menghabiskan hafazan Surah at-Tariq, dengan bantuan ibu bapa menambah satu hingga dua ayat baharu setiap hari.

“Selain pembelajaran di PASTI, di rumah kami hampir setiap hari akan menyemak hafazan Hamzah yang telah dipelajarinya,” ujarnya.

Menurutnya, dari sudut akhlak pula, beliau sentiasa menekankan adab harian seperti bercakap dengan sopan, menghormati orang tua serta membiasakan amalan-amalan kecil yang baik dalam kehidupan seharian.

Manakala dari sudut pengurusan masa, keluarga Hamzah memilih pendekatan fleksibel dengan menyelitkan aktiviti hafazan dan pembelajaran dalam rutin harian seperti sebelum bermain, ketika di dalam kereta atau sebelum tidur.

Nabilah turut memuji suasana pembelajaran di PASTI Al-Hidayah yang disifatkan tenang dan mesra, dengan guru-guru yang komited serta rakan-rakan yang baik, sekali gus menjadikan Hamzah seronok ke sekolah.

Sejak menyertai PASTI, Hamzah menunjukkan perubahan positif termasuk minat membaca yang tinggi, disiplin diri yang baik, peningkatan kualiti solat serta sikap ringan tulang membantu ibu di rumah.

Selain itu, Hamzah juga lebih berdisiplin, mudah mendengar nasihat dan menunjukkan adab yang baik dalam pergaulan seharian.

Sebagai ibu bapa, Nabilah dan suaminya, Abdullah Mustafa Mohamad Al-Aboosi, 33, seorang ustaz di Sri Showme, Seberang Takir, berharap Hamzah terus berdamping dengan al-Quran dan membesar sebagai anak berakhlak mulia.

“Kami sentiasa berdoa agar Hamzah terus berdamping rapat dengan al-Quran serta mampu mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian.

“Kami juga mengharapkan pembentukan sahsiah yang qawwam, berakhlak mulia, menjadi qudwah kepada adik-adiknya dan seterusnya menjadi harapan kepada agama, bangsa dan ummah,” tambah beliau lagi.

Hamzah merupakan anak sulung daripada tiga beradik, manakala ibunya bertugas sebagai Tutor Bahasa Arab secara dalam talian dan keluarga ini menetap di Padang Hangus, Tepoh.