Hampir 30 Peratus Penduduk Seberang Takir Miskin?

4859

Kemiskinan bergenerasi masih lagi berlaku pada masyarakat Seberang Takir, dimana masih wujud dikalangan keluarga dalam kawasan tersebut yang masih lagi terperangkap dalam kepompong kemiskinan.

Secara keseluruhan kemiskinan yang dialami oleh sejumlah keluarga itu, sudah berlangsung hampir tiga generasi.

Walaupun mendapat bantuan yang sepatutnya namun mereka masih lagi menemui jalan buntu dalam melakukan perubahan untuk keluar daripada kemiskinan.

Kekurangan semangat dan tiada kesedaran untuk keluar daripada kemiskinan adalah punca kepada keluarga-keluarga ini tidak melakukan mobiliti kemiskinan.

Dalam kertas kajian bertajuk, ‘Miskin Bergenerasi dan Mobiliti Kemiskinan di Seberang Takir’ yang dibuat sekumpulan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menunjukkan, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak menerus dikuasai oleh parti Umno dan Barisan Nasional (BN) masih menghadapi masalah kemiskinan.

“Mengikut data yang diperoleh melalui program e-Kasih yang digerakkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga(YPK) Terengganu, terdapat lebih 1065 orang yang tergolong dalam golongan miskin di daerah Seberang Takir.

“Kelompok miskin ini mewakili 29.30% daripada penduduk di Seberang Takir.

“Kelompok miskin ini dibahagikan kepada 3 jenis tahap kemiskinan iaitu, miskin tegar 3.47%, miskin 28.35%, mudah miskin 42.72% dan terkeluar sebanyak 25.44%,” menurut dapatan dari kajian tersebut.

Dinyatakan juga dalam kajian itu, antara kelompok penduduk yang mendapat pendapatan paling sedikit ialah golongan nelayan dan pemandu bot penambang.

“Paling ketara pendapatan paling sedikit adalah pemandu bot penambang dan nelayan. Pendapatan pemandu bot penambang adalah sekitar RM 700 – RM 900 sebulan.

“Pendapatan nelayan pula tidak tentu kerana ianya dikira daripada hasil tangkapan.

“Tanggungan (dalam keluarga) menjadi beban apabila pendapatan yang diterima tidak dapat (sepadan dengan kepeperluan) tanggungan yang ada.

“Sebagai contoh, seorang ibu tunggal yang ditemu ramah mendapat pendapat sebanyak RM 500 sebulan dan terpaksa menanggung dua orang anak yang masih lagi bersekolah,” menurut kajian itu lagi.

Kesemua daripada sampel dalam kajian itu menerangkan, bantuan yang diberikan adalah sangat berguna dalam meneruskan kehidupan harian.

Namun, terdapat daripada mereka yang menyifatkan bantuan yang diberikan masih lagi tidak cukup kerana kos sara hidup yang meningkat.