Oleh : KAM
KUALA NERUS – Puluhan juta setiap tahun malah ratusan juta duit rakyat telah dibelanjakan bagi projek hakisan pantai di Kuala Nerus, akhirnya ‘hilang ditelan’ ombak begitu sahaja.
Penyelesaian jangka pendek masalah hakisan pantai dengan benteng tambakan batu pemecah ombak disifatkan gagal seumpama ‘mencurah air ke daun keladi’.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mencadangkan satu jalan penyelesaian jangka panjang dengan membuat tambakan pasir yang memanjang ke pantai.
Kaedah itu, katanya pernah dilakukan di beberapa buah negara seperti Amerika dan Australia serta terbukti baik untuk jangka masa panjang.


“Kesannya, pertama berjaya menyelamatkan pantai untuk jangka masa panjang dan kedua, pantai itu boleh menjadi lokasi pelancongan.
“Ianya akan menyelamat pantai dan harta benda milik orang kampung. Kita tahu pantai di Kuala Nerus ini kawasan peranginan dan menjadi tumpuan setiap hujung minggu.
“Itulah antara cadangan yang selalu saya bawa ketika di Parlimen sebelum ini,” ujarnya kepada wakil media ketika meninjau lokasi hakisan di Pantai Kolam, Kampung Mengabang Telipot, semalam Isnin 13 Februari.


Katanya, tahun lalu ketika hakisan teruk berlaku di Pantai Tanjung Gelam kerajaan membelanjakan peruntukan segera RM1.2 juta bagi menyediakan tambakan batu tersebut.
“Tahun lepas (2016) buat tambakan batu di Pantai Tanjung Gelam dengan kos RM30 juta. Hari ini, selepas setahun berlaku pula hakisan yang teruk di utara Tanjung Gelam iaitu Kampung Kolam Mengabang Telipot ini.
“Jika dibuat lagi tambakan batu di sini, dia akan memberi kesan pula kepada pantai seterusnya iaitu di Pengkalan Maras. Ini kerana, penyelesaian itu bukan untuk jangka masa panjang.
“Kerajaan hari ini telah menghabiskan secara keseluruhan sebanyak RM120 juta hanya untuk tambakan batu yang tiada kesudahan,” jelasnya.


Namun, katanya pihak kerajaan masih mempertahankan kajian lama menggunakan tambakan batu yang terbukti gagal setiap tahun.
“Nampaknya, kerajaan mengambil satu jalan penyelesaian yang sama iaitu menggunakan tambakan batu semata-mata. Kesannya, dia hanya penyelesaian sementara sahaja dan menyebabkan hakisan pantai di utara (Pengkalan Maras) selepas ini.
“Ini terbukti jelas, apabila kerajaan membuat tambakan batu di kawasan Pantai Tok Jembal suatu ketika dahulu.
“Selepas itu, berlaku pula hakisan di kawasan utara Tok Jembal iaitu di lokasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pantai Tanjung Gelam, Kampung Tengah dan hari ini Pantai Kampung Kolam, Mengabang Telipot.
“Kenapa kerajaan masih mempertahanan pandangan lama dan menghabiskan RM120 juta. Menteri telah berubah tetapi jawapan masih sama. (tambakan batu),” ujarnya.


“Saya telah menghantar surat kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, untuk memohon satu pertemuan pada hari Isnin (20 Februari) ini dan bertemu dengan menteri (Dato’ Wan Junaidi Tunku Jaafar) dalam isu ini.
“Kita (PAS) akan bawa satu memorandum dan pandangan kita secara bertulis dan ‘derait’ dan kita akan sebutlah apa masalah yang berlaku di kawasan kita ini yang berpanjangan dalam tempoh tiga, empat tahun ini,” kata Dr Mohd Khairuddin.
Pada 28 Disember 2016 lalu, kerajaan Terengganu telah memperuntukan sebanyak RM1.2 juta bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Tanjung Gelam dekat Kuala Nerus.


Manakala, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga menyediakan peruntukan RM30 juta yang menjadikan nilai keseluruhannya ialah RM120 juta.



























