Fenomena Penjelasan Batas-Batas Iman Dan Kufur Bukan ‘Takfiri’

1653

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Apabila PAS dipimpin oleh ulama haraki maka pengajian yang berteraskan ilmu akidah menjadi salah satu paten dalam majlis ilmu yang dianjurkan oleh PAS, juga institusi seperti masjid dan surau. Pengajian akidah akan membenihkan ahli yang faham akan konsisten dengan perjuangan Islam. Namun ada sisi lain yang terserlah apabila pengajian akidah menggerakkan kesedaran secara besar-besaran tentang politik berteraskan akidah terutama yang membatalkan syahadah.

Pada tahun-tahun 80an pula kesan pengajian ini ialah isu takfir di dalam masyarakat terutama di negeri-negeri yang mempunyai pengaruh PAS yang kuat seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Fenomena ini juga dikesan pernah berlaku di Mesir pada tahun 70an sehingga menimbulkan jamaah Takfir Wal Hijrah yang dipimpin oleh Mustafa Shukri. Menurut Dato Asri (1993), PAS sendiri tidak pernah mengambil sebarang ketetapan atau keputusan mana-mana mesyuarat pun, baik di peringkat cawangan. Badan yang berhak untuk memutuskan dalam hal ini ialah Dewan Ulama, sedangkan Dewan Ulama tidak pernah membuat keputusan sama ada dengan bertulis atau dengan lisan.

Isu ini juga telah digunakan sebagai senjata politik UMNO untuk memencilkan PAS daripada masyarakat umum. UMNO mempunyai niat terselindung untuk menuduh PAS menyebarkan fahaman ini dan di sisi lain gerakan Islam dituduh sebagai gerakan neo-Khawarij, inilah juga yang terjadi di Libya, Algeria, Mesir, Yaman dan sebagainya. Khawarij adalah firqah akidah, pelabelan ini akan memencilkan sesuatu kelompok daripada masyarakat yang lain.

Di tanahair kita, isu perpecahan akibat takfir dikesan pada tahun 1960an apabila isu politik diganding dengan isu akidah tetapi ia tidaklah separah dekad 1989an, kerana UMNO mempolitikkan isu dengan semaksima mungkin bagi mewajahhitamkan PAS. Isu politik dan akidah agak serius apabila terbitnya kitab “Beberapa Mutiara yang Bagus Lagi Indah” karangan Sheikh Abdul Kadir Al-Mandili di Mekah. Beliau adalah tokoh ulama yang mengajar di Masjidil Haram yang juga merupakan Ketua Cawangan PAS di Mekah.

Menurut seorang tokoh agama UMNO iaitu Dato’ Nakhaie Haji Ahmad (2002), apabila berlakunya kesedaran di negara ini sekitar tahun 70an di mana golongan terpelajar mendapat percikannya, fahaman-fahaman takfir ini mendapat ilham baru daripada karangan al-Maududi dan Sayyid Qutb. Meskipun karangan mereka lebih banyak menjelaskan tentang persoalan prinsip mengenai pemerintahan tetapi penerapan prinsip itu di dalam menjelaskan isu-isu politik, menimbulkan banyak salah faham sehingga mengakibatkan berlakunya kegiatan takfir. Pandangan Nakhaie ini juga dikongsi bersama oleh intelektual proksi UMNO di menara gading dengan nada dan lirik yang sama.

Kerajaan BN tidak bertindak dengan hujah tetapi menggunakan ISA untuk berhadapan dengan pimpinan PAS dalam isu ini. Gejala takfir di Besut, isu ini cuba dibendung oleh kerajaan dengan menangkap pemimpin PAS Besut seperti Ustaz [email protected] Jusoh dan Ustaz Abdul Latif Mohamad di bawah Enakmen Kediaman Terhad Seksyen 2 (Abdul Latif juga telah meninggalkan PAS semasa krisis Besut dan kini menyertai PAS kembali). Ustaz Abdul Latif dalam pertemuan peribadi dengan penulis pada tahun 1994 menegaskan beliau hanya menerangkan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat bukan mengkafir pengikut UMNO. Beliau mengajar secara berkitab dan tidak ada ulama UMNO yang berani menyanggah dengan hujah apa yang disebut dengan nas al-Quran dan al-Hadis junjungan.

Tuduh-menuduh antara PAS-UMNO, siapa yang mencetuskan fenomena takfir hampir menyeret keduanya ke meja debat terbuka, untuk rakyat menilai isu ini dengan terbuka. Pimpinan PAS telah bersedia dengan apa tajuk sekalipun. Sebelum debat ini dijadualkan berlangsung ada wakil NGO dan tokoh umat Islam meminta supaya debat itu tidak diadakan, sebaliknya berunding. Antaranya Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad bin Mohamed Ibrahim (UIA), wakil ABIM dan sebagainya.

Debat bertajuk “PAS mengkafirkan UMNO” yang dicadangkan pada 11 November 1984 telah disensasikan dan menjadi buah mulut rakyat negara ini. Namun sebelum berlangsung ianya dibatalkan dengan campur tangan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Pihak PAS berpandangan pembatalan debat ini satu bukti yang ampuh UMNO takut berhadapan dengan PAS dalam isu ini yang dimanipulasi dengan gaya paling hodoh oleh jentera UMNO untuk masyarakat membenci PAS.

Menurut Tuan Guru Haji Hadi Awang, isu takfir yang dimainkan oleh UMNO terhadap PAS semakin reda, masyarakat mula menghargai menghargai ikrar syahadah mereka yang tidak boleh dipermainkan sesuka hati kerana syahadah boleh terbatal samada dengan iktikad, lisan atau perbuatan. Ucapan menghina Islam dan syariatnya semakin sirna apabila masyarakat difahamkan dengan ilmu akidah.

Penulis merasa agak bersimpati dengan ocehan Presiden PAN yang menyebut bahawa gerakan Islam membudayakan politik takfiri, seolah-seolah beliau tidak pernah melalui zaman getir PAS diserang UMNO. PAS tetap istiqomah memberikan ilmu akidah kepada rakyat kerana ini adalah sebahagian obligasi teras sebuah partai Islam. Membimbing rakyat mengenali Islam dan syariatNya, juga menjadi vanguard kepada ummah dan membentenginya daripada terjahan aqidah yang sesat.

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan Pusat)