Fastaqim 2.0; Pemuda Kawasan Marang Hantar 5K Peserta

2217

Oleh : Rohayati Ripin

MARANG – Pemuda PAS Kawasan Marang akan menghantar 5,000 orang peserta menghadiri program Fastaqim 2.0 yang akan diadakan di Pantai Tok Jembal hujung bulan ini.

Ketuanya, Ustaz Yusuf Abdul Hadi berkata, perhimpunan Fastaqim pada kali ini yang dibuat di Terengganu mensasarkan penyertaan seramai 200K ahli PAS di seluruh negara yang mana, ia akan menjadi satu himpunan raksasa yang akan menggerunkan musuh-musuh PAS.

“Alhamdulillah Terengganu akan menjadi tuan rumah dan ini satu mesej yang sangat jelas bahawa apabila program besar yang diatur oleh PAS Pusat yang dibuat di sini menunjukkan bahawa pilihan raya akan datang PAS akan mengambil alih pemerintahan,

“Program Fastaqim bertujuan mengumpul kekuatan bukan sahaja orang muda termasuklah seluruh ahli – ahli PAS bagi tujuan untuk mengatur saf kita, yang juga ahli-ahli PAS terutamanya para pimpinan diperingkat pusat, negeri, kawasan, DUN dan cawangan,

“semuanya bagi mempersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,“ jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program t\Taklimat Gempur Fastaqim 2.0 di Dewan Pejabat PAS Marang, Khamis, 7 September, disini.

Menurutnya, tujuan Fastaqim dianjurkan ialah untuk merapatkan lagi susun atur perjuangan sepertimana sedia maklum Parti Islam Semalaysia (PAS) mempunyai ahli seramai sejuta orang lebih.

“Sebab itulah diantara kekuatan kita….. Walaupun PAS tidak mempunyai kemudahan seperti mana parti Umno yang mempunyai duit, jentera dan sebagainya,

“Yang mana kekuatan PAS ialah tidak lain tidak bukan (ialah) kita berkumpul dan mengaturkan kerja serta turun ke padang. Seperti mana yang kita tahu pilihan raya pada kali ini sangat sengit, kita bukan sahaja berhadapan dengan Umno (bahkan) termasuklah dengan parti-parti lain,” kata beliau.

Justeru, beliau menyeru seluruh Pemuda PAS, bersama-sama menggembleng tenaga, masa dan harta benda bagi menjayakan program Fastaqim 2.0