Oleh : Nooreni Abu Bakar
KUALA TERENGGANU – Wanita akan turut dilantik sebagai Exco (AhliMajlis Mesyuarat) kerajaan Negeri Terengganu jika PAS berjaya menawan negeri tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Ketua Muslimat PAS negeri Hajah Zarani Othman berkata, perkara tersebut telah dimasukkan dalam enakmen kerajaan Negeri Terengganu semasa PAS memerintahkan diantara 1999 sehingga 2004.
Menurutnya, sekiranya tiada calon wanita atau bukan Islam dari kalangan wakil rakyat, maka akan dilantik seorang Exco daripada kalangan tersebut.
“Dan (enakmen) ini masih ada (kekal), tidak dibubarkan oleh Umno Barisan Nasional walaupun dia memerintahkan lepas daripada 2004,” jelas beliau.
Beliau menambah, walau bagaimana pun, Muslimat telah menghantar nama untuk untuk dipilih sebagai calon yang akan bertanding pada PRU-14.
“Tetapi soal yang meletakkan calon bukan kita, yang buat pilihan adalah pucuk pimpinan PAS Pusat dengan dikemukakan oleh Negeri,” jelasnya.
Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Marang menyifatkan Belanjawan 2018 yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak pada jumaat lepas, adalah ‘umpan’ untuk menghadapi PRU ke 14.
“Inilah umpan-umpan, gula-gula…….macam dia bayangkan kita ni budak kecik, BRIM dipertingkatkan,”
Sedangkan katanya, kutipan GST pada 2015 RM27 billion, 2016 RM 41.2 billion.
“dan (untuk tahun) 2017, anggaran akan dikutip sebanyak RM47 billion tetapi belanja untuk BRIM keseluruhannya RM8.4 billion kepada penerima seramai tujuh juta orang,” bidasnya.
Beliau juga menyeru para petugas kempen daripada seluruh Terengganu supaya tidak berasa lemah dengan janji-janji bajet Najib.
“kerana hanya Allah yang mampu melembutkan hati-hati manusia, yang penting bekerja dan sentiasa mengharapkan pertolongan,” tambah beliau lagi.