Enam Sekeluarga Nyaris Terkorban Dalam Kebakaran

2111

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Enam sekeluarga nyaris menjadi korban dalam sebuah kebakaran apabila kediamannya hangus terbakar dijilat api di Kampung Cabang, Kertih, semalam.

Dalam kejadian pada 7.00 pagi itu, kesemua mereka berlari keluar sehelai sepinggang bertindak menyelamatkan diri apabila terdengar bunyi letupan serta api mula merebak dan membakar setiap ruang rumah.

Kejadian mula disedari pemilik rumah, Mohamad Boto, 50 yang sedang menonton televisyen sebaik sahaja selesai menunaikan solat subuh.

“Ianya berlaku terlalu cepat dan dengan jelas saya melihat kebakaran besar bermula dekat meter api (switch box),

“dan saya bergegas mengejutkan anak cucu yang masih tidur serta melarikan diri keluar ketika api sudah marak menjulang,” ujar beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tan Boto.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang berkejar ke tempat kejadian mendapat taklimat daripada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kertih, Khairul Hasni Mokhtar yang mengetuai operasi memadam api kebakaran.

Pihak bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 7.10 pagi dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa 15 minit.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,satu keluarga enam orang berada dalam rumah tersebut semasa kejadian berlaku,

“Seramai 13 anggota dengan tiga jentera digunakan, dua dari Kertih dan satu dari Kijal digunakan dalam operasi ini, punca kejadian dan jumlah kerugian belum dikenalpasti,” tambah Khairul Hasni Mokhtar yang merupakan Timbalan penguasa bomba.

Menurutnya, Kebakaran tersebut telah memusnahkan 85% rumah kayu dan dapat dikawal dalam masa lima belas minit serta segala punca dan anggaran kerugian akan dikenalpasti oleh Bahagian Forensik Kebakaran Bomba dan Penyelamat.

Turut hadir sama ke tempat kejadian ialah Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid dan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Kemasik, Amri Mamat.