Dunia Melihat Siapa Sebenarnya Pengganas

1241
Zaid Mustafa (kiri), 13, dan ibunya, Salwa Mustafa (tengah) tidak dapat menahan tangisan ketika sidang media di Christchurch hari ini. Suami Salwa, Mustafa dan anak lelakinya, Hamza, terbunuh dalam insiden tembakan Jumaat minggu lalu. -Foto AFP

Seorang balu, Salwa Mustafa yang kehilangan suami serta anak lelakinya dalam serangan di Masjid Al Noor di New Zealand di sini, dilakukan pengganas Australia, berkata, serangan itu tidak melemahkan Islam sebaliknya mengukuhkan lagi perpaduan ummah.

“Jika mereka fikir mereka memusnahkan kita, mereka tersilap. Apa yang berlaku menjadikan kita lebih kuat, kerana kita bukan pengganas.

“Orang mengatakan Muslim adalah pengganas. Seluruh dunia melihat siapa pengganas. Muslim adalah agama yang cintakan keamanan dan kasih sayang, bukan pengganas.

“Saya berharap seluruh dunia dapat memahami Islam sebenar, realiti agama Islam,” kata Salwa ketika menggenggam tangan anak lelakinya yang ditembak di kaki ketika serangan Jumaat minggu lalu.

Suami Salwa, Khalid Mustafa dan anak lelakinya berusia 15 tahun, Hamza adalah antara 50 mangsa pertama dalam insiden tembakan dua masjid di bandar selatan New Zealand di sini, yang dikebumikan Rabu lalu.

Keluarga itu tiba di New Zealand tahun lalu sebagai pelarian dari Syria, hanya mendapati diri mereka menjadi mangsa keganasan di negara yang dianggap selamat.

Pengganas warga Australia, Brenton Tarrant, memberi motif serangan dalam manifesto terdahulu untuk memerangi ‘penceroboh Muslim.’

Dalam sidang media penuh emosi hari ini, Salwa dan anak lelakinya yang masih hidup, Zaid, 13, mengucapkan terima kasih kepada rakyat New Zealand yang menganjurkan solat Jumaat seluruh negara.

Zaid, yang duduk di kerusi roda berkata, dirinya amat sedih kehilangan bapa dan abangnya.

“Saya merasakan seperti saya sudah mati dan bapa serta abang masih hidup, itu lebih baik,” katanya sambil menyapu air mata, namun berjanji untuk hidup demi mereka.

Zaid berkata, beliau akan kembali ke Masjid Al Noor untuk menunaikan solat sebaik ia dibuka semula dan pulih daripada kecederaannya.

“Ia amat bermakna, untuk mengucapkan terima kasih kepada Tuhan atas apa yang telah berlaku,” katanya. – AFP