Kerajaan PAS Teruskan Projek Sakit Zaman BN

4768

Oleh KAM

HULU TERENGGANU – Kerajaan PAS melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), akan meneruskan baik pulih projek-projek ‘sakit’ yang ditinggalkan oleh pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ratusan buah rumah Projek Perumahan Mampu Milik yang terbengkalai di Kampung Padang Setengge akan dibaik pulih semula oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, projek perumahan penswastaan itu dibuat antara LTAWNT dengan pemaju syarikat Se-Purnama Development Sdn. Bhd. pada tahun 2001.

“Pembangunan keseluruhan adalah 481 unit rumah kos rendah atau mampu milik, dibina di atas tanah seluas 51.97 hektar di Kampung Padang Setengge.

“Pembangunannya, dibahagikan kepada empat fasa. Fasa I dan fasa II siap sepenuhnya dan telah boleh diduduki.

“Kerajaan negeri mengambil maklum masalah yang dihadapi oleh pembeli di Padang Setengge ini, dan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikannya, Insya’Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya, ketika melawat tapak projek Perumahan Padang Setengge, Sempena Program MB Mari Kampung Kite!, Siri Jelajaah Pembentangan Bajet 2019 di Kuala Berang, Hulu Terengganu, pada Rabu 20 Mac.

Katanya, kerajaan telah melantik pemaju baharu bagi menyiapkan projek itu yang dijangka akan dimulakan bulan April depan.

“Insya’Allah, projek ini dijangka akan dapat disiapkan pada akhir tahun 2019 ini, dalam tempoh lapan hingga 12 bulan.

Anggaran kos pembaikian dan penyiapan bagi projek ini di antara RM8.5 juta hingga RM10 juta,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk menyiapkan baki unit-unit rumah terbengkalai itu bagi diserahkan kepada para pembeli.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Dato’ A Rahman Yahya, Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid.

Menurut Muhyiddin yang juga Setiausaha PAS Terengganu, kawasan perumahan itu dibina pada zaman pemeritahan parti itu 1999 – 2004, di atas tanah seluas 51.97 hektar atau lebih 100 ekar.

Pada tahun 2001, projek itu dimulakan dan siap pada tahun 2003 bagi Fasa I dan Fasa II sebanyak 247 unit.

Manakala, Fasa III juga telah siap sebanyak 124 unit daripada 243 unit tersebut pada tahun 2010.

Pemaju asalnya Syarikat Se Purnama Delelopment Sdn.Bhd. Syarikat (orang) Umno ini.

Kerajaan PAS Terengganu lulus juga kepada syarikat berkenaan kerana pemaju ada pengalamannya.

Fasa I ada 124 unit, siap sepenuhnya dan serah kepada pembeli pada 12 April 2009. Siap 2003, tapi 2004 jatuh kerajaan PAS. Apabila naik kerajaan Umno-BN semula projek itu jadi ‘sakit’ (masalah).

Fasa II siap 123 unit 100 peratus dan serah kepada pemiliknya pada 25 Disember 2010. Fasa III dan IV 234 unit dan yang siap 100 peratus sebanyak 124 unit.