SETIU – “Dari masa 24 jam sehari yang kita miliki, pimpinan telah memperuntukkan sebahagian besarnya untuk perjuangan, tuan-tuan yang bukan berada sepenuh masa dalam perjuangan, saya mohon tolong peruntukkan paling kurang 2 jam sehari untuk kerja-kerja Islam melalui wadah PAS”.
“Kalau kita ada 20 orang Jawatankuasa Cawangan, bermakna telah ada 40 jam masa yang diperuntukkan untuk parti dalam sehari bagi satu cawangan sahaja! Bayangkan bila kita ada 100 cawangan dalam satu parlimen.”
Demikian ditegaskan oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Merangkap Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Pas Kawasan Setiu kali ke 35 di Kompleks Lukmanul Hakim, Kampung Guntung Permaisuri pada 21 September 2013.
“Perwakilan yang hadir perlu memanfaatkan sebaik mungkin ruang mesyuarat agong sebagai medan muhasabah terbaik. Dalam masa yang sama, pimpinan di atas pentas juga mempunyai hak untuk memberikan taujihat dan arahan-arahan kerja.”
“Jangan kita memberikan kritikan, kecaman dan serangan dengan niat supaya pimpinan akan rasa susah hati dan tak lena tidur lantas kita rasa puas hati bila pada anggapan kita, kita telah berjaya menyusahkan orang lain tanpa kita sedar sebenarnya kita telah menyusahkan saudara kita yang bersama berjuang untuk Islam!” tegas Ustaz Idris lagi.
Mesyuarat Agong yang dihadiri oleh kira-kira 500 orang perwakilan dan pemerhati turut dihadiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu YB Ustaz Mohd Noor Hamzah, mewakili Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu.
Mesyuarat tersebut juga adalah merupakan sesi pemilihan kepimpinan baru PAS Kawasan Setiu bagi penggal 2013-2015 yang menyaksikan perubahan dalam kepimpinan utama PAS Setiu.
Dalam mesyuarat Jawatankuasa yang diadakan sejurus selesai mesyuarat agung itu, telah memberikan amanah dan melantik Aminuddin Umat sebagai Setiausaha PAS Kawasan Setiu, Hasan Basari Wan Omar sebagai Bendahari sementara Dr Azman Ibrahim dilantik sebagai Ketua Penerangan.























