Dialog Terbuka Pemuda MCA–PAS Perkukuh Kefahaman Rentas Kaum

120

KUALA LUMPUR – Dialog terbuka yang berlangsung malam tadi melibatkan Jawatankuasa Pusat (CWC) Pemuda MCA bersama wakil PAS, berjaya merungkai pelbagai persepsi serta salah faham terhadap PAS.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, dialog tersebut memberi ruang untuk saling memahami dan menjelaskan pendirian masing-masing secara terbuka serta berhemah.

“Dialog ini memberi ruang untuk saling memahami, menjelaskan pendirian, dan menegaskan bahawa nilai-nilai teras seperti keadilan, integriti, kebajikan serta keharmonian masyarakat adalah nilai sejagat yang melangkaui batas kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, sesi perkongsian tersebut berlangsung dalam suasana yang positif dan membina, sekali gus mencerminkan kesediaan semua pihak untuk berkomunikasi secara matang demi kebaikan bersama.

“Melalui komunikasi yang jujur dan berhemah, kita membina jambatan kepercayaan demi masa depan Malaysia yang lebih matang, inklusif dan sejahtera untuk semua,” menurut kenyataan tersebut.

Jelas beliau, antara pimpinan Pemuda MCA yang hadir dalam sesi dialog berkenaan ialah Mike Chong, Timbalan Ketua Pemuda Kebangsaan MCA merangkap Timbalan Ketua Penerangan MCA dan Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan; Kevin Chong, Ketua Pemuda MCA Wangsa Maju; Maxine Khoo, Timbalan Setiausaha Agung Pemuda MCA Kebangsaan serta Ketua Pemuda MCA Bahagian Subang; dan Andy Teoh, Ketua Pemuda MCA Petaling Jaya.

Pertemuan tersebut dilihat sebagai satu langkah positif ke arah memperkukuh kefahaman dan keharmonian dalam kalangan generasi muda parti politik berbeza latar belakang, selari dengan aspirasi untuk membina landskap politik negara yang lebih matang dan inklusif.