Dialog Rakyat Menjana Kebangkitan ‘Third Force’ Hadapi PRU14

1889

Selaku Pengerusi NGO Kongres Rakyat Terengganu (KRT), saya berpuas hati dengan perjalanan program Hi-Tea : Dialog Rakyat Terengganu (DRT) yang mencapai matlamat dengan penyertaan lebih 300 peserta yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Ia bukanlah sahaja kerana jumlah penyertaan tetapi kerana mereka yang datang itu, sebahagian besarnya bukan aktivis PAS tetapi dari pelbagai latarbelakang masyarakat.

Antara mereka adalah pegawai dan bekas pegawai kerajaan (persekutuan dan negeri serta badan-badan berkanun), pemimpin-pemimpin NGO’s, golongan profesional, PIBG, Jawatankuasa Masjid (termasuk imam dan bilal) yang benar-benar berhasrat untuk mendapat penjelasan secara lansung dari pimpinan PAS sendiri.

Mereka mahu tahu apa yang ingin ditawarkan oleh PAS samada di peringkat pusat atau negeri sekiranya diberi mandat oleh rakyat selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bahkan, lebih dari 20 soalan telah dikemukakan oleh para peserta dan dijawab oleh ahli-ahli panel yang terdiri dari Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar (Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS) serta Timbalan-Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu iaitu YB Ustaz Hj Satiful Bahari Mamat, YB Dr Hj Alias Abd Razak.

Oleh kerana itu pelbagai isu rakyat yang berkait dengan pembelaan terhadap golongan belia, pelajar, golongan peniaga, pendidik, nelayan, wargamas dan golongan seni turut dibangkitkan.

Para peserta juga mendapat penjelasan berkait hubungan kerjasama PAS-UMNO dan kaedah penyelesaian terhadap isu GST. Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang turut hadir di akhir majlis dan berucap sebagai majlis penutup.

Sesungguhnya, program ini berjaya menepis sebahagian dari pelbagai tohmahan negatif terhadap PAS yang bertebaran dalam media sosial.

Ahli-ahli panel berjaya memberi penjelasan dalam isu kemampuan PAS mengurus dan mentadbir kerajaan dengan adanya pelan induk jangka panjang melalui Pelan Induk Gagasan Sejahtera di peringkat pusat dan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) di peringkat negeri.

Semua tawaran daripada kedua-dua manifesto, PAS di peringkat masing-masing, In shaa Allah akan dilaksanakan, sekiranya PAS diberi mandat oleh rakyat.

Dalam isu memilih kepimpinan, saya yakin program ini akan membangkitkan gerakan NGO’s sebagai kuasa ketiga (third force) untuk memilih PAS sebagai parti yang diberi peluang menerajui kerajaan kelak.

Haji Yahaya Ali
Pengerusi Kongres Rakyat Terengganu (KRT)