1. Ekoran keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk menetapkan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel serta mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Disember 2014, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan berdialog dan menyatakan pendirian rasmi daripada pihak kami kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
2. Harga minyak dunia telah menunjukkan aliran menurun sejak pertengahan Jun 2014. Kedua-dua petunjuk harga minyak mentah dunia seperti West Texas Intermediate di Amerika Syarikat dan Brent di Eropah menunjukkan penurunan yang ketara dan ia berlegar sekitar USD 80.00 setong sehingga hari ini.
3. Sebelum pembentangan Bajet 2015, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengumumkan pengurangan subsidi petrol RON95 dan diesel pada 2 Oktober 2014 sehingga mengakibatkan kenaikan kedua-dua harga bahan bakar tersebut sebanyak RM 0.20 sen. Kerajaan dianggarkan telah menikmati penjimatan kira-kira RM 8 bilion hingga RM 9 bilion bagi tahun 2015. Ini bermakna kerajaan telah pun menikmati hasil penjimatan ketika tren penurunan harga minyak dunia dan pada masa yang sama rakyat dibebani dengan peningkatan kos sara hidup dan tekanan inflasi.
4. Setelah pembentangan Bajet 2015, kerajaan mengumumkan pula mekanisme baru pada 21 November yang lalu dengan mengambil pendekatan pengapungan terkawal setelah harga pasaran minyak dunia di bawah USD 80.00 setong. Secara tidak langsung, kerajaan menarik sepenuhnya subsidi bagi petrol RON95 dan diesel. Nasib rakyat dipertaruhkan dengan penghapusan subsidi sepenuhnya dan tidak seperti yang dijanjikan sebelum ini untuk dibuat secara berperingkat-peringkat.
5. Penjimatan subsidi petrol RON95 dan diesel ini sepatutnya dimaklumkan secara eksplisit dalam pembentangan Bajet 2015 yang lalu bagi mengunjurkan pendapatan dan pengagihan sebenar kewangan kerajaan. Kerajaan diunjur akan terus menikmati penjimatan kira-kira RM 20 bilion pada tahun 2015 dan rakyat hanya menerima tempias kecil sekiranya harga runcit petrol RON95 dianggarkan akan berkurang daripada RM 2.30 seliter kepada RM 2.27 seliter.
6. Pihak DPPWP akan mempersoalkan langkah penjimatan tersebut dan tindakan yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan bebanan hidup rakyat khususnya golongan pertengahan dan menetap di kawasan bandar. Tambahan lagi, rakyat berdepan dengan tekanan kenaikan kos sara hidup dan bakal berdepan dengan perubahan regim cukai baharu pada April 2015.
7. Pihak kami juga akan membawa beberapa cadangan kepada pihak kerajaan dalam sesi dialog tersebut dan akan meneruskan kempen penerangan di sekitar Wilayah Persekutuan mengenai isu ini sepanjang bulan Disember. Dialog tersebut dicadang akan diadakan pada 1 Disember 2014 (Isnin) di pejabat Jabatan Perdana Menteri. Kira-kira 5 orang delegasi DPPWP akan hadir dalam sesi dialog tersebut.
Sekian, terima kasih.
Mior Isfandy bin Mior Azizan
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan